MADRID: Antonio Rudiger sah menjadi milik Real Madrid dengan menandatangani kontrak empat tahun.
Tonggak pertahanan berusia 29 tahun itu, menyertai juara Eropah tersebut secara percuma selepas kontraknya bersama Chelsea tamat penghujung musim lalu.
Dia menolak tawaran Blues untuk kekal di Stamford Bridge selepas Chelsea ketika itu tidak mampu menaikkan gajinya ekoran sekatan yang dikenakan terhadap pemilik mereka, Roman Abramovich angkara pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Bintang Jerman tersebut turut diintai gergasi Eropah lain seperti Barcelona, Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG).
“Pada Isnin 20 Jun, pukul 12 (tengah hari) akan ada sesi pengenalan Antonio Rudiger sebagai pemain Real Madrid,” kata Real dalam satu kenyataan.
Rudiger menyertai Chelsea dari AS Roma pada Julai 2017 dan mencipta nama selaku pertahanan tengah terbaik di kelab London itu.
Dia memainkan peranan penting ketika Chelsea memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah musim 2020-2021 sebelum turut menjulang trofi Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA tahun lalu.
Rudiger juga memenangi Piala FA pada 2018 dan turut bersama Chelsea ketika dinobatkan sebagai juara Liga Europa tiga tahun lalu. – AGENSI