IPOH: Perak FC terpaksa menggugurkan tiga pemain bagi memberi ruang kepada tiga import baharu menguatkan pasukan Bos Gaurus dalam baki kempen Liga Perdana.
Ketua jurulatih, Yusri Che Lah ketika mendedahkan perkara itu berkata, ia satu keputusan yang sukar buatnya.
“Saya tiada pilihan. Tiga pemain sedia ada terpaksa digugurkan untuk membolehkan trio import didaftarkan.
“Ini situasi menyedihkan kerana mereka telah bersama pasukan ketika kami menghadapi pusingan pertama dengan pemain terhad tetapi terpaksa diketepikan dalam baki saingan kerana kami berlebihan pemain,” kata Yusri.
Menurut Yusri, Perak FC hanya boleh mendaftarkan 14 pemain baharu selepas larangan pendaftaran pemain baharu ditarik balik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 16 Jun lalu.
“Saya berharap pemain dan penyokong faham akan tindakan yang diambil. Tiada unsur pilih kasih terhadap mana-mana pemain kerana tindakan diambil bertujuan memastikan pasukan menamatkan cabaran dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Perdana sekali gus layak ke Piala Malaysia.
“Ia satu keputusan yang sukar dan berat tetapi terpaksa dilakukan,” katanya.
Selain itu, Yusri turut memohon maaf kepada penyokong kerana tidak menurunkan pemain Croatia, Stipe Plazibat walaupun berada di stadium malam tadi.
“Saya tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain itu kerana masih kepenatan. Saya berpeluang melihatnya dalam latihan pasukan,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, dua lagi pemain iaitu Luciano Guaycochea dari Argentina dan pemain tengah menyerang, Sunday Kolawole Afolabi dari Nigeria dijangka tiba hari ini atau esok. – UTUSAN ONLINE