Malaysia pilih laluan sukar

Malaysia pilih laluan sukar

Para pemain Malaysia menyekat kemaraan Pemain Bahrain, Mohamed Jasim Marhoon (tengah) pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL : Malaysia memilih jalan sukar untuk melayakkan diri di pentas Piala Asia 2023, Jun nanti selepas tewas 1-2 di tangan Bahrian pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kekalahan pada kempen kelayakan Piala Asia 2023 ini menyaksikan skuad kebangsaan perlu menamatkan kedudukan di tangga kedua terbaik di kalangan lima pasukan dari enam pasukan.

Turut hadir memberikan sokongan buat skuad kebangsaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Peluang Malaysia untuk berada di kalangan lima terbaik dari enam pasukan tetap ada namun perlu menewaskan Bangladesh pada aksi terakhir peringkat Kumpulan E, Selasa ini.

Melakukan lima pertukaran pemain dalam kesebelasan utama, Harimau Malaya bermula garang dengan percubaan Nazmi Faiz Mansor pada minit kedua.

Pemain Bahrain, Mohamed Jasim Marhoon (dua kiri) terjatuh selepas diasak Pemain Malaysia, Muhammad Akhyar Rashid (dua kanan) pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Beraksi dalam keadaan padang yang becak tidak melunturkan semangat anak didik Kim Pan Gon yang dilihat agresif sebaik sahaja wisel perlawanan ditiup pengadil perlawanan dari Tajikistan, Sadullo Gulmurodi.

Gawang Bahrain terus diuji selang tiga minit kemudian kali ini menerusi tolakan Junior Eldstar namun gagal menewaskan Sayed Mohamed Abbas.

Junior yang berkelana di Thailand beraksi dengan kelab Chonburi FC seharusnya mampu menceriakan hampir 63,925 penyokong Malaysia pada minit ke-13 berpunca dari situasi kelam kabut dalam kotak penalti Bahrain namun, rembatannya sekali lagi gagal menemui sasaran.

Peluang keemasan Malaysia muncul pada minit ke-30 menerusi Akhyar namun rembatannya berjaya ditepis Sayed Mohamed Abbas.

Penjaga Gol Bahrain, Sayed Mohamed Abbas (kanan) menepis bola tendangan Pemain Malaysia, Muhammad Akhyar Rashid pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

Walaupun kedua-dua pasukan terus melancarkan serangan memburu gol namun tiada gol terhasil untuk memastikan masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan seri tanpa jaringan.

Tanpa melakukan sebarang pertukaran baik Malaysia mahupun Bahrian pada separuh masa kedua, anak didik Filipe Sousa dilihat lebih mendominasi perlawanan.

Stadium Nasional Bukit Jalil akhirnya bergema selepas Mohamadou Sumareh menjaringkan gol pada minit ke-54.

Gol berpunca dari hantaran lintang pemain Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee ke dalam kawasan kotak penalti Bahrain yang berjaya dihidu Sumareh untuk melakukan tampanan menewaskan Sayed Mohamed Abbas.

Kegembiraan Harimau Malaya meraikan jaringan tidak bertahan lama selepas dua minit kemudian Ali Abdula Haram menjaringkan gol penyamaan buat Bahrain.

Menyedari perubahan taktikal perlu dilakukan, Pan Gon telah melakukan tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Safiq Rahim, Arif Aiman dan Guilherme De Paula.

Hasrat Malaysia untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata semakin sukar selepas Bahrain dihadiahkan sepakan penalti selepas Farizal Marlias mengasari Ali Jaafar Madan dalam kotak penalti.

Penyerang gantian Bahrain, Abdulla Yusuf Helal yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk menewaskan Farizal pada minit ke-81.

Walaupun Malaysia terus menekan memburu gol penyamaan namun keputusan 2-1 memihak Bahrain kekal sehingga tamat perlawanan.

Harimau Malaya seterusnya akan turun pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Bangladesh, manakala Bahrain berdepan Turkmenistan, Selasa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN