KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin pengalaman menganjurkan enam Sukan SEA sebelum ini mampu menjadikan Malaysia tuan rumah terbaik apabila temasya dwitahunan itu kembali ke negara ini pada 2027.
Katanya, biarpun perbincangan mengenai penganjuran termasya belum dimulakan, namun berdasarkan pengalaman, termasuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998 dan beberapa kejohanan antarabangsa, Malaysia bersedia menyediakan kemudahan terbaik.
Kali pertama negara menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada 1965, diikuti 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.
“Perkara itu belum dibincangkan kerana jarak masanya masih panjang.
“Begitupun, saya yakin kita ada fasiliti mencukupi. Kalau kita anjurkan Sukan SEA, kita akan berjaya anjurkan dengan baik. Malaysia terkenal sebagai negara yang berjaya menganjurkan sukan antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Axiata Arena, Bukit Jalil kelmarin.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebelum ini memilih Malaysia sebagai tuan rumah edisi ke-34 temasya pada 2027 – lima tahun dari sekarang.
Ini kali ketujuh Malaysia diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).
SEAGF turut memilih Singapura untuk menjadi tuan rumah bagi edisi ke-35 (2029) yang juga buat kali kelima bagi negara jiran tetangga itu.