PETALING JAYA: Kealpaan dan kesilapan mudah dilakukan Malaysia punca pasukan negara dibelasah 4-1 oleh Korea Selatan dalam aksi pembukaan Kumpulan C, Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) kelmarin.
Ketua Jurulatih Malaysia B-23 negara, Brad Maloney mengakui, terlalu memberi peluang kepada lawan menyebabkan pasukannya dihukum sehingga empat gol oleh juara bertahan.
Dalam aksi di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan itu Malaysia bergelut untuk mengimbangi corak permainan laju ditampilkan Korea Selatan sehingga menyebabkan gawang mereka bolos empat kali.
Pasukan negara cuba merapatkan jurang jaringan pada 10 minit terakhir perlawanan apabila bermain lebih terbuka, namun kelekaan benteng pertahanan dihukum dengan dua gol pada minit terakhir perlawanan.
“Sudah pastinya kami menjangkakan perlawanan akan menjadi cukup sukar kerana mereka (Korea Selatan) adalah juara bertahan.
“Apa pun saya bangga dengan persembahan pemain saya yang tidak pernah mengaku kalah. Mereka berjaya memperoleh satu gol dan kemudian terus cuba menekan untuk mengejar gol dan beberapa kesilapan mengundang padah buat kami.
“Apa yang boleh saya katakan, apabila beraksi dengan pasukan hebat sudah tentu mereka akan menghukum kita apabila melakukan kesilapan kecil,” kata Maloney.
Korea mendahului 2-0 menerusi Lee Sang-Min (minit-31) dan Kim Tae-hwan (48), namun Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-33.
Hasrat Harimau Malaya B-23 untuk melakar kebangkitan musnah selepas Korea mendapat dua lagi gol dalam tempoh dua minit terakhir menerusi Cho Young-wook (89) dan dua minit memasuki waktu kecederaan.