PETALING JAYA: Menang ke atas Brunei belum cukup sempurna buat Harimau Malaya menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2023 bermula Rabu depan.
Itulah yang dikongsi pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
“Memang kami mahukan kemenangan menentang Hong Kong tetapi bagaimana cara kami memilih untuk menang.
“Adakah kami hanya mahu menang dengan menunggu kesilapan lawan.
“Pastinya kami mahu mencari kemenangan dengan aksi menarik, salah satu cara adalah menguasai permainan, menyerang untuk menang, inilah kemenangan yang kami mahukan,” katanya.
Pada aksi menentang Brunei, Jumaat lalu, Harimau Malaya dilihat berdepan sedikit tekanan pada permulaan sebelum menang 4-0 mengatasi lawan yang hampir empat bulan tidak beraksi secara kompetitif.
Tegas pengendali kelahiran Korea Selatan ini, dia enggan memainkan unsur sentimen menjelang pertemuan menentang bekas pasukannya itu.
“Secara jujur, saya tidak memikirkan tentang sentimen menentang bekas pasukan kerana apa yang lebih penting memastikan Malaysia sepenuhnya sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia nanti.
“Di atas kertas, kita boleh lihat kualiti yang ada pada pasukan Hong Kong setara dengan kita dan sudah tentu saya cukup teruja untuk menentang mereka sebagai aksi pemanas badan terakhir,” katanya.
Untuk rekod, Pan-gon pernah membimbing pasukan Hong Kong sebanyak dua kali dalam kariernya pada 2009 hingga 2010 sebelum kembali pada 2012 hingga 2017. – UTUSAN