Malaysia ada kualiti untuk lakar kejutan di Tashkent

Malaysia ada kualiti untuk lakar kejutan di Tashkent

BRAD Maloney (kanan) memberi arahan kepada pemain Malaysia pada sesi latihan di Tashkent, Uzbekistan semalam dalam persiapan menghadapi Korea Selatan hari ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Brad Maloney menegaskan, beliau memiliki barisan pemain yang mampu memberi tentangan kepada mana-mana pasukan, termasuk juara bertahan, Korea Selatan yang akan ditentang dalam aksi pembukaan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Tashkent, Uzbe­kistan malam ini.

Tidak menafikan Korea memiliki ramai bintang se­perti Oh Se-hun, Cho Young-wook dan pemain Mallorca, Lee Kang-in, namun Harimau Malaya B-23 turun ke Stadium Lokomotiv de­ngan misi mencari mata, bukan ‘menunggu’ serta bertahan.

Kata Maloney, beliau mempunyai pasukan yang mampu menyebabkan mereka yang selama ini tidak pernah meyakini kemampuan Malaysia ‘hilang wang pertaruhan’.

KOREA Selatan memiliki barisan ampuh dan menjadi pilihan apabila berdepan Malaysia malam ini.

“Kami turun tanpa tekanan dari luar padang atau apa-apa sahaja. Kami bersedia memberikan aksi terbaik dan cuba mencari mata,” katanya.

Beliau mengakui, berjaya mengutip mata ke atas skuad Taegeuk Warriors dalam aksi ­sulung Kumpulan C dianggap satu pencapaian baik, namun skuad muda negara pastinya turun dengan mentaliti menang dan bukan sekadar melengkapkan perlawanan.

Pada Piala Asia B-23 2018 di China, Malaysia yang ketika itu dibimbing Datuk Ong Kim Swee melakar kejutan mara ke suku akhir, malah memberi tenta­ngan hebat kepada Korea sebelum kalah tipis 1-2.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mengesahkan tiket suku akhir, di mana gergasi Asia Tenggara, Vietnam dan Thailand menjadi dua lagi lawan yang perlu dilepasi oleh Harimau Muda untuk meneruskan kemaraan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan sebarang sasaran untuk anak buah Maloney di Tashkent, namun jurulatih dari Australia itu menegaskan, pasukannya sentiasa mahu pergi jauh dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Kami faham ia akan menjadi kejohanan yang sangat sukar di peringkat kumpulan.

“Kami mendapat tiga lawan sukar – Korea Selatan, Vietnam dan Thailand tetapi kami akan melakukan yang terbaik,” kata­nya.

Pengendali berusia 50 tahun itu menganggap cuaca sejuk di Tashkent sesuai untuk bola sepak, malah berkata, anak buahnya telah menyesuaikan diri dengan baik sejak tiba di sana semalam.

Beliau berkata pemain juga bebas daripada kecederaan menjelang pertembungan dengan Korea Selatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN