LONDON: Kad kuning meragukan yang diterima bintang tengah Arsenal, Granit Xhaka ketika menentang Leeds United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Disember lalu kini menjadi subjek siasatan Agensi Jenayah Kebangsaan.
Pada Januari lalu, badan bola sepak England, FA mengakui telah menjalankan siasatan mengenai insiden yang dikhuatiri membawa kepada skandal pertaruhan besar sebelum merujuknya kepada agensi jenayah.
Dalam perlawanan di Elland Road pada 18 Disember lalu, bintang tengah Switzerland itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil Andre Marriner kerana membuang masa pada minit ke-86 dengan melambat-lambatkan untuk mengambil sepakan percuma.
Rakaman video insiden itu menunjukkan Xhaka berdiri selama kira-kira 20 saat di kawasan Arsenal tanpa keinginan yang jelas untuk mengambil sepakan percuma sebelum dilayangkan kad kuning.
FA tidak membuka sebarang siasatan ke atas kelakuan Xhaka tetapi difahamkan telah menyampaikan maklumat yang mereka kumpul kepada Agensi Jenayah Kebangsaan.
Pemain berusia 29 tahun itu mempunyai rekod disiplin yang buruk bersama Gunners dengan dilayangkan kad kuning 10 kali dan dibuang padang dua kali musim lalu.
Menurut laporan, taruhan luar biasa bernilai 52,000 pound (RM280,000) diletakkan semasa perlawanan ke atas Xhaka pada 10 minit terakhir dengan tekaan layangan kad kuning akan diberikan biarpun Arsenal menang 4-1.
Tidak lama selepas perlawanan itu, perjudian melibatkan insiden kad kuning dikatakan meraih sekitar 250,000 pound (RM1.34 juta).
Penerima taruhan terkemuka melaporkannya kepada FA kerana melibatkan sejumlah wang yang besar dan beberapa sumber industri memberitahu Sportsmail bahawa jumlah itu jauh melebihi apa yang biasanya dipertaruhkan untuk kad kuning. – AGENSI