SEREMBAN: Impak segera yang ditampilkan dua import baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Yaser Pinto dan Gustavo Almeida memberi keyakinan buat pengendali skuad Jang, K. Devan untuk menjadi pencabar serius pada saingan Liga Super musim ini.
Membuat penampilan sulung ketika menentang Sri Pahang kelmarin, kedua-dua pemain menunjukkan keserasian untuk membantu tuan rumah membenam Tok Gajah 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Apa yang melegakan Devan, kemenangan itu akhirnya menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan yang diharungi pasukannya, malah lebih malang mereka juga tidak menjaringkan gol dalam ketiga-tiga aksi terdahulu.

“Tidak mudah untuk melihat pemain baharu datang menyesuaikan diri dan memahami taktikal pasukan dengan cepat.
“Dalam tempoh sebulan untuk menyesuaikan diri sangat sukar, kebiasaannya pemain mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan,” katanya.
Penyerang kelahiran Sao Paulo, membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-33, sebelum Pinto (Chile) menambah gol kedua, minit ke-47.
Matheus Alves melengkapkan malam cemerlang Negeri Sembilan dengan meledak gol ketiga pada minit ke-52, sekali gus membolehkan mereka melonjak ke tangga kedua liga dengan berkongsi 19 mata bersama pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, Devan menegaskan, beliau enggan terlalu memikirkan kedudukan pasukannya yang mengekori rapat JDT, apatah lagi Harimau Selatan masih memiliki kelebihan tiga perlawanan dalam tangan.
Sabah yang menghuni tangga ketiga dengan 18 mata pula baru mengharungi lapan perlawanan berbanding pasukannya yang sudah beraksi 10 kali musim ini.
“Buat masa ini saya tidak fikir tempat pertama, kedua atau ketiga kerana kami pasukan baharu dalam Liga Super.
“Sasaran kami kalau boleh mahu capai satu kedudukan lebih baik untuk pasukan dan juga pemain,” katanya. – UTUSAN