Gajah Perang ada senjata tambahan

Gajah Perang ada senjata tambahan

PEMAIN Malaysia menjalani latihan akhir di Tashkent, Uzbekistan semalam sebelum berdepan Vietnam pada perlawanan ketiga Piala Asia Bawah 23 hari ini. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun berjaya menjinakkan Thailand pada Sukan SEA Vietnam awal bulan lalu, namun skrip kali ini berbeza buat pasukan muda negara pada Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Tashkent, Uzbekistan.

Pengendali Malaysia B-23, Brad Maloney me­ngakui, anak-anak buahnya bakal berdepan cabaran lebih getir dalam aksi kedua Kumpulan C, malam ini.

Ketika Malaysia membariskan muka sama daripada temasya di Vietnam, Thailand membariskan pasukan lebih kuat dengan menyenaraikan sembilan pemain yang berpangkalan di luar negara.

Antara yang menjadi tumpuan adalah Thanawat Suengchitthawon yang beraksi di Leicester City di England, Yannick Nussbaum dari BSC Young Boys (Switzerland) dan Nicholas Mickelson (OB, Denmark).

Selain tiga pemain tersebut, pemain campuran lain yang berada dalam skuad Thailand adalah Chayapipat Supun­pasuch (Estoril, Portugal), Achitpol Keereerom (Augsburg II, Jerman), Ben Davis (Oxford United, England), Channarong Promsrikaew (Union Adarve, Sepanyol) dan Jonathan Khemdee (OB, Denmark).

Kata Maloney, ketika ini barisan kejurulatihan melakukan persiapan rapi dengan memastikan pemain berada pada tahap optimum bagi mencari keputusan positif di Stadium ­Bunyodkor, Tashkent.

“Kita sudah melalui perlawanan yang cukup mencabar ketika menentang juara bertahan, Korea Selatan dan kini ada satu lagi aksi sukar menanti iaitu Thailand.

“Kami boleh jangka bukan perlawanan yang mudah. Kami sudah bertemu Thailand beberapa kali bulan ini, mereka adalah pasukan yang bagus.

“Saya juga nampak mereka membawa pemain dari luar negara, jadi kami jangka ia perlawanan yang sukar,” katanya.

Kemenangan menentang Thailand pastinya akan mence­rahkan peluang negara untuk meraih slot ke peringkat kalah mati, sebelum bertemu Vietnam, Rabu depan.

Malaysia tumpas 1-4 kepada Korea Selatan dalam aksi pembukaan, manakala Thailand seri 2-2 menentang Vietnam pada perlawanan pertama, Khamis lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya