PETALING JAYA: Episod duka pemain dan pengurusan Perak FC yang dibelenggu tunggakan gaji hampir RM9 juta membabitkan kira-kira 100 kakitangan bakal berakhir apabila pembayaran akan diselesaikan minggu ini.
Jaminan itu diberikan XOX Pro Sport Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat XOX Berhad selepas memeterai perjanjian bersama Impact Media & Communication Sdn. Bhd. bagi pengambilalihan 100 peratus pegangan ekuiti dalam kelab berkenaan kelmarin.
Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, bayaran ini akan dijelaskan selewat-lewatnya esok sebelum perlawanan menentang UiTM FC di laman sendiri.
“Keseluruhannya dianggarkan RM9 juta melibatkan 70 pemain Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia, staf kejurulatihan (20 orang), kakitangan pengurusan pentadbiran (11 orang).
“Bayaran kepada mereka semua akan dijelaskan dalam minggu ini dan kita mahu pemain turun dengan semangat baru pada aksi menentang UiTM FC di Stadium Perak, Ipoh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Azim yang juga bekas Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) berkata, mengenai bayaran bekas pemain import akan dijelaskan selepas mendapat maklumat lengkap dari Impact Media and Communications Sdn. Bhd. (IMC).
“Beberapa bekas pemain import telah pulang ke negara masing-masing, kami perlu menghubungi mereka semula untuk menyelesaikan tunggakan.
“Salah satu terma perjanjian pengambilalihan Perak FC adalah IMC perlu mengemukakan senarai lengkap jumlah tunggakan gaji pemain import.
“Buat masa ini kita masih belum mendapat senarai penuh (pemain import), jadi kita harap ia akan diselesaikan dalam masa terdekat sebelum jendela perpindahan kedua pemain dibuka 28 Mei nanti,” katanya.
Kelmarin, XOX Pro Sport Sdn. Bhd memeterai perjanjian bersama IMC bagi pengambilalihan 100 peratus pegangan ekuiti dalam kelab bola sepak Perak FC Sdn. Bhd. pada harga RM1.
Pembelian Perak FC pada harga RM1 adalah berdasarkan persetujuan bersama selepas mengambil kira kerugian mereka selepas cukai, tunggakan hutang dan kesukaran untuk beroperasi sebagai sebuah kelab bola sepak.