HANOI: Malaysia berada pada kedudukan baik untuk layak ke separuh akhir Sukan SEA, namun tiket belum terjamin dan mereka tidak boleh ambil mudah baki dua saingan Kumpulan B, tegas pengendali skuad Malaysia bawah 23 (B-23), Brad Maloney.
Kata Maloney, kemenangan 3-1 ke atas Laos kelmarin menunjukkan banyak peningkatan ketara dalam pasukannya, perkembangan yang melegakan apatah lagi beliau hanya mempunyai tempoh singkat untuk melakukan persediaan.
Begitupun Singapura yang akan ditentang dalam aksi ketiga esok pastinya jauh lebih getir berbanding Laos, manakala kemampuan Kemboja membenam Laos 4-1 dalam aksi terdahulu membuktikan mereka juga memiliki kualiti.
“Sudah tentu kami berpuas hati dengan tiga mata ini. Laos tidak memberi laluan mudah dan mereka memiliki beberapa pemain berkualiti tetapi ia baik untuk kami melangkah setapak lagi ke hadapan dan mendapat keputusan yang diperlukan.

“Saya tidak mahu terlalu awal bercakap tentang peringkat seterusnya (separuh akhir), kita masih ada dua perlawanan dan kita akan fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Dalam temasya seperti ini apa sahaja boleh berlaku, jadi saya harap pemain-pemain mampu mengekalkan momentum (kemenangan). Ada peningkatan dan kita akan teruskannya,” kata Maloney.
Katanya, masih terdapat beberapa kelemahan yang harus diperbaiki segera, terutama daripada segi hantaran tepat, umpanan ke depan serta penyudah bagi memastikan pemburuan ‘ibu emas’ mampu direalisasikan.

Dalam aksi di Stadium Thien Truong, Nam Dinh kelmarin, dua jaringan penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin dan Muhamad Syahir Bashah memastikan tiga mata buat Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu.
Percaturan Maloney merombak tiga pemain dalam kesebelasan utama dengan memasukan Faiz Amier, Quentin Cheng dan Safwan Mazlan, masing-masing menggantikan Azrin Afiq, Azam Azmi Murad dan Hairiey Hakim.
“Tiga pertukaran pemain yang dilakukan tidak menjejaskan pasukan dan mereka menjalankan tugas dengan baik sepanjang berada di padang,” ujarnya.
Malaysia pernah memenangi enam emas dalam bola sepak Sukan SEA, namun edisi terakhir di Manila 2019 kita pulang seawal peringkat kumpulan. – UTUSAN










