SEREMBAN: Walaupun rekod tanpa kalah pasukannya dileburkan oleh juara bertahan, Johor Darul Ta’azim (JDT), ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan, K. Devan tetap bangga dengan prestasi anak buahnya yang ‘melawan’ ketika kalah 0-1 dalam aksi Liga Super kelmarin.
Katanya, pemain telah mengikut pendekatan taktikal yang diberikan dan ia berjaya memberikan kesukaran kepada pasukan lawan yang hanya memperoleh gol pada minit terakhir masa kecederaan.
“Sebelum perlawanan ada laporan mengatakan kami akan bermain secara parking the bus (bertahan) tetapi kami tidak melakukannya hari ini. Kami bermain seperti biasa dan kami tahu JDT merupakan pasukan yang sangat baik dan berada pada tahap yang berbeza.
“Kami mesti proaktif dengan pendekatan taktikal kami jadi kami mampu memberikan saingan kepada JDT. Saya rasa kami bermain secara proaktif, kami lakukan serangan balas dan tidak bertahan sepanjang masa.

“Kami malah bertahan lebih baik berbanding pasukan lawan, kami juga cipta peluang hari namun tidak mampu menyudahkannya,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di itu, JDT memperoleh gol tunggal yang dijaringkan oleh penyerang import sensasi mereka, Fernando Forestieri 10 minit memasuki waktu kecederaan.
Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora menyifatkan perlawanan sebagai sukar dan mengakui Negeri Sembilan telah memberikan saingan yang yang cukup sengit.
JDT kini mengungguli Liga Super 2022 di kedudukan teratas dengan mengumpul 15 mata daripada lima perlawanan diikuti Negeri Sembilan yang memperoleh 14 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan. – UTUSAN