MADRID: Biarpun masih bergembira atas kejayaan menjuarai gelaran Eropah ke-14, Presiden Real Madrid, Florentino Perez sudah memandang jauh dengan mencabar pemain Los Blancos memburu kejuaraan ke-15.
Real menewaskan Liverpool 1-0 di Stade de France, Sabtu lalu, menerusi jaringan Vinicius Junior bagi memastikan gelaran Liga Juara-Juara Eropah kelima dalam tempoh sembilan musim.
Semalam, para pemain diraikan dalam perarakan membawa trofi menaiki bas tidak berbumbung di ibu kota Madrid, dan berhenti di beberapa tempat seperti ibu pejabat kerajaan di Almudena Cathedral, City Hall, Plaza Cibeles dan akhir sekali Santiago Bernabeu.
“Real Madrid mencipta sejarah lagi dan ini adalah Piala Eropah ke-14 dan trofi La Liga ke-35 kami.
“Piala Eropah yang dimenangi ke atas kelab legenda seperti Liverpool akan dikenang sebagai antara sejarah hebat Liga Juara-Juara Eropah.
“Legenda kelab ini semakin membesar. Kami menewaskan empat kelab terbaik di Eropah dengan semangat melawan dan sentiasa percaya sehingga ke akhir perlawanan.
“Ia musim yang indah dan dicapai menerusi satu daripada tempoh paling cantik dan sukar dalam sejarah kami. Lima gelaran Eropah dalam tempoh lapan tahun pasti sukar dilupakan peminat bola sepak di seluruh dunia. Madrid adalah abadi, jadi sekarang, kita buru piala ke-15 pula,” kata Perez.
Perez turut memuji jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, yang muncul jurulatih pertama memenangi empat Piala Eropah dan yang pertama memenangi gelaran di lima liga utama Eropah.
“Dia adalah simbolik kepada Real Madrid,” kata Perez.
Memakai sut hitam, kemeja putih dan tali leher hitam, pemain Real Madrid mengarak trofi di setiap lokasi sambil menandatangani kemeja t, autograf dan bergambar dengan penyokong.
Di atas bas pula, pemain memakai kemeja t Real Madrid yang memaparkan nombor 14 dan perkataan ‘champions’ ditulis di belakangnya.
Karim Benzema dan Marcelo memegang trofi Liga Juara-Juara Eropah manakala Luka Modric dan Nacho Fernandez membawa trofi La Liga. – AGENSI