MADRID: Ditanya apa yang berlaku
di Santiago Bernabeu apabila Real Madrid berjaya meledak dua gol pada minit-minit terakhir untuk mengheret permainan ke masa tambahan, Pep Guardiola berkata: “Mereka boleh berbuat demikian kepada anda.”
Guardiola percaya, City mengawal permainan sepenuhnya, namun pemain Real memiliki kelebihan secara psikologi kerana pernah berdepan situasi seperti ini.
“Pemain Real Madrid pernah melalui ini, kami tidak pernah mengalaminya. Kami cemerlang sepanjang perlawanan tetapi ia akhirnya bergantung kepada siapa yang menjaringkan gol terbanyak,” katanya.

City mendahului 1-0 pada aksi di Santiago Bernabeu untuk agregat 5-3 memasuki minit ke-90 sebelum dua gol dalam masa 88 saat daripada pemain gantian, Rodrygo menyaksikan kedudukan terikat 5-5 secara agregat.
Karim Benzema kemudian menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti untuk menghantar pemenang 13 kali Liga Juara-Juara itu ke final menentang Liverpool pada 28 Mei di Paris.
City sebaliknya masih menunggu untuk dinobatkan sebagai juara Eropah walaupun berbilion-bilion dilaburkan oleh pemilik kelab yang berpangkalan di Abu Dhabi sejak 14 tahun lalu.

“Kami tidak beraksi pada tahap terbaik, tetapi ia adalah perkara biasa di separuh akhir. Pemain merasakan tekanan dan mahu melakukannya.
“Bola sepak sukar untuk diramal. Kami perlu menerimanya,” kata Guardiola kepada BT Sport.
Real juga memerlukan kebangkitan di Bernabeu ketika menyingkirkan Paris Saint-Germain dan Chelsea pada aksi sebelum ini.
Real gagal memperoleh cubaan tepat walaupun sekali sehinggalah Rodrygo menyempurnakan hantaran Benzema untuk gol pertama Real minit ke-90.
Pemain Sensasi Brazil itu kemudian menanduk masuk bola pada minit pertama masa kecederaan. – AGENSI