Maruah jadi taruhan Malaysia

Maruah jadi taruhan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Biarpun masih dibelenggu kekecewaan ekoran kekalahan tipis 1-0 kepada Vietnam di separuh akhir, Malaysia menentang musuh tradisi, Indonesia pada penentuan pingat gangsa bola sepak Sukan SEA 2021 hari ini dengan semangat tinggi kerana menyedari maruah menjadi pertaruhan.

Seperti Malaysia, Indonesia juga amat terluka kerana kalah tipis 1-0 kepada Thailand. Kedua-dua pasukan dipaksa mengharungi perlawanan yang berlanjutan sehingga 120 minit sebelum tumbang.

Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney menjangkakan satu lagi pertembungan sengit akan berlaku dalam perebutan gangsa yang akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi.

“Pemain melalui proses pemulihan dengan baik walaupun kita berdepan aksi sukar berdepan Vietnam yang memerlukan kekuatan fizikal. Kami memberi fokus kepada pemulihan mereka dan semuanya kembali kepada tahap kecergasan terbaik.

“Esok (hari ini) kami akan lebih bersedia dan tidak sabar untuk mengharungi aksi terakhir Sukan SEA, malah ia membawa makna besar buat kedua-dua pasukan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Malaysia dan Indonesia akan beraksi pada pukul 5 petang waktu Malaysia, manakala juara bertahan, Vietnam akan berentap dengan juara terbanyak, Thailand untuk perebutan emas pada 8 malam ini.

Maloney mengakui, sama seperti semua pertembungan selama ini, aksi Malaysia-Indonesia sentiasa difokuskan kepada seteru tradisi, dan perkara menjadi motivasi buat anak-anak buahnya untuk membawa pulang gangsa.

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberi kata-kata perangsang kepada pasukan negara yang akan menentang Indonesia dalam perebutan gangsa di Hanoi hari ini. – IHSAN FAM

“Tidak ada bezanya antara aksi esok (hari ini) dan menentang Vietnam sebelum ini. Ketika separuh akhir saya tidak pernah melihat anak buah saya sangat mempunyai motivasi sangat tinggi. Mereka sudah bersedia untuk turun bermain.

“Sukar untuk katakan aksi perebutan gangsa lebih mendapat perhatian berbanding final Sukan SEA, namun saya percaya ribuan penyokong (Malaysia dan Indonesia) akan berada di belakang kedua-dua pasukan,” kata Maloney.

Ketika ditanya mengenai tahap kecergasan dan kecederaan pemain, Maloney berkata selepas aksi 120 minit ada beberapa pemain mengalami kekejangan namun telah mereka masih mampu diturunkan.

“Mungkin ada seorang atau dua pemain masih perlu dipantau. Mengenai pasukan Indonesia pula mereka beraksi sangat baik di kejohanan ini, walaupun tanpa Egy Maulana yang mengalami kecederaan,” katanya.

Indonesia bukan saja pincang selepas ketiadaan Egy, malah turut terasa dengan tiga pemain yang digantung akibat layangan kad merah ketika tumpas kepada Thailand di separuh akhir dan pemain berkenaan adalah Firza Andika, Rachmat Irianto, Ricky Kambuaya.

Pertembungan itu mengulangi aksi separuh akhir Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan Malaysia melakar kemenangan 1-0 untuk mara ke final sebelum tewas kepada Thailand dengan keputusan sama bagi perebutan pingat emas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.