PETALING JAYA: Kekalahan 1-2 kepada Timor Leste pastinya amat mengecewakan, namun pengendali skuad Malaysia Bawah 23 tahun (B-23), Brad Maloney berkata, lebih baik segala kelemahan didedahkan sekarang agar ia sempat diperbaiki sebelum pasukan negara memulakan kempen Sukan SEA di Hanoi, Sabtu depan.
Kelmarin, skuad muda negara dikejutkan dengan kekalahan kepada pasukan kerdil Timor Leste dalam aksi tertutup di Stadium UiTM, Shah Alam yang menjadi persiapan terakhir untuk menghadapi Sukan SEA.
Anak-anak buah Maloney akan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Filipina hari ini sebelum berlepas ke Vietnam, Rabu depan.

Dalam aksi tersebut, Malaysia dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan pelawat pada minit ke-51 menerusi Elias Joao Da Costa sebelum Faiz Amer Runnizar menyamakan kedudukan di minit ke-66.
Timor Leste bagaimanapun melengkapkan kemenangan apabila Jhon Frith Ornai meledak gol kedua pada minit ke-77.
“Saya tetap optimis pasukan muda negara memiliki potensi, yang penting kami harus segera bertindak balas atas kekalahan.
“Kita masih ada masa untuk melakukan sesuatu dan seperti saya katakan tadi, kekalahan kepada Timor Leste memberikan isyarat dan sepatutnya dijadikan medan kebangkitan kepada pasukan negara,” katanya. – UTUSAN