IPOH: Pemain Perak FC sudah nampak sinar di hujung terowong berikutan penjualan kelab itu kepada Syarikat Telekomunikasi XOX.
Pemain Perak FC, Idris Ahmad berkata, tindakan Impact Media and Communication Sdn.Bhd (IMC) menjual pemilikannya itu melegakan pemain.
“Selepas lama dihimpit kemelut kewangan, kami kini bagaikan burung yang terbang bebas berterbangan.
“Saya yakin kini tiada lagi soal gaji lewat serta tunggakan berbulan-bulan seperti semasa di bawah IMC,” katanya.
Idris yakin XOX akan melakukan yang terbaik dalam menjaga kebajikan dan kepentingan pasukan.
Menurutnya, langkah pemilik baharu itu menyumbang RM100,000 menunjukkan mereka memahami keperitan yang dialami pemain selama ini.
Katanya, sumbangan itu meredakan keresahan yang semakin memuncak memandangkan pemain kini menyambut hari lebaran.
“Kini balik kampung adalah duit untuk diberikan kepada ibu bapa serta sanak saudara.
“Memang kami pulang kampung dengan gembira,” kata Idris yang berhari raya di Selangor.
Menurut pemain pertahanan itu pemain Perak kini bagaikan mendapat semangat baru mengikuti perkembangan baharu pasukan.
“Saya lihat suasana baharu dalam pasukan selepas ini.
“Kami sudah tidak sabar untuk menempuh senario baru ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE