Jangan murung macam ada kematian

Jangan terlalu bersedih macam ada kematian

SON Heung-min (tengah) meraikan jaringan Tottenham ketika menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Jurgen Klopp tidak mahu pemainnya terlalu bersedih seolah-olah menghadiri upacara ‘pengebumian’ selepas Liverpool diikat 1-1 oleh Tottenham di Anfield semalam, sekali gus menjejaskan misi mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Jurulatih kelahiran Jerman itu bagaimanapun mengakui, tugas mereka kini amat berliku kerana dia tidak dapat menjangkakan Manchester City akan keciciran mata dalam baki persaingan.

“Ia tetap mata penting kerana Manchester City berkelebihan satu mata ke atas kami sebelum perlawanan, namun kita semua tahu apa situasinya sekarang.

“Kami kini berada di tangga teratas (untuk sementara). Ia kedudukan kegemaran saya, ­namun untuk memikirkan City akan tewas semua baki perlawanan dan kami kekal di puncak adalah sangat mustahil berlaku.

“Saya ingin duduk di sini dan berkata, ya…City akan kehila­ngan mata tetapi saya tidak dapat melihat perkara itu akan berlaku,” katanya.

JURGEN Klopp dan Thiago Alcantara memberi penghormatan kepada penyokong selepas Liverpool seri dengan Tottenham.

Dalam perlawanan itu, Son Heung-min mengejutkan Reds dengan membuka jaringan ­Tottenham pada minit ke-56, namun rembatan lencong Luis Diaz berjaya menyamakan kedudukan 16 minit sebelum tamat permainan.

Sementara itu, Klopp ­me­negaskan tiada sebab untuk pemainnya kecewa mengenai prospek merangkul kejuaraan.

“Pertama sekali kita harus berhenti berkelakuan seperti ia adalah majlis pengebumian.

“Dalam hidup saya, banyak perkara yang lebih buruk pernah berlaku. Satu-satunya peluang yang kita ada adalah jika sesuatu berlaku mengikut kehendak kita.

“Bayangkan City kalah, saya tidak dapat melihatnya tetapi bayangkan jika mereka kalah dan kami tetap kehilangan gelaran kerana kami tidak percaya kepada diri sendiri. Itu lebih gila,” katanya.

JARINGAN penyamaan Luis Diaz tidak cukup untuk memberi kemenangan buat Reds.

Liverpool yang sudahpun merangkul Piala Liga akan berdepan Chelsea dalam final Piala FA, Sabtu ini dan bakal menentang Real Madrid pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Paris pada 28 Mei.

Sementara itu, Antonio Conte kagum dengan ketenangan dan keberanian Spurs dalam penguasaan bola, namun jurulatih itu turut mengeluh apabila anak-anak buahnya gagal menyudahkan deretan peluang di depan gawang.

“Kami perlu berpuas hati, bukan mudah untuk bermain menentang pasukan yang menakjubkan. Tetapi saya telah melihat di mata pemain saya sedikit kekecewaan kerana kami mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan itu,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN