ROME: Inter Milan merangkul kejuaraan Coppa Italia (Piala Itali) selepas menumpaskan musuh tradisi, Juventus 4-2 dalam perlawanan yang penuh insiden dan kontroversi hari ini.
Dua jaringan Ivan Perisic pada masa tambahan memastikan kemenangan Inter, yang terdahulu turut mencetus kontroversi apabila dihadiahkan penalti yang disempurnakan Hakan Calhanoglu minit ke-80 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Juventus memulakan aksi dengan sempurna apabila meledak dua gol pantas menerusi Alex Sandro dan Dusan Vlahovic pada awal separuh masa kedua.
Begitupun, tindakan pengadil, Paolo Valeri memberikan sepakan penalti selepas Lautaro Martinez terjatuh susulan berlaku sedikit sentuhan daripada Leonardo Bonucci menimbulkan kemarahan kepada skuad bimbingan Massimiliano Allegri.
“Saya sentiasa percaya kami boleh melakukannya, walaupun ketika ketinggalan 1-2. Kami kehilangan fokus selama 10 atau 15 minit tetapi kami kembali bangkit.
Saya fikir kami berhak untuk menang,” kata Perisic kepada Mediaset.
Bagi Inter, ia satu lagi kemenangan kontroversi selepas menewaskan pasukan itu untuk menjuarai Piala Super Itali di Turin awal musim ini yang memberi suntikan semangat untuk mempertahankan kejuaraan Serie A.
Pasukan bimbingan Simone Inzaghi mengekori rapat AC Milan apabila hanya kurang dua mata dan akan menyerahkan kejuaraan liga kepada lawan mereka jika gagal menewaskan Cagliari yang berada di zon penyingkiran, Isnin ini.
Sementara itu, Allegri memilih untuk tidak berkata apa-apa mengenai keputusan penalti yang menafikan mereka menjulang trofi.
“Inter sedang berjuang untuk kejuaraan liga dan kami berada di belakang mereka. Kami perlu merapatkan jurang itu dengan terus bekerja keras,” kata Allegri. – AGENSI