PETALING JAYA: Brad Maloney yang mengekalkan skuad Sukan SEA dan menambah tiga nama baharu berharap untuk mengutip sekurang-kurangnya empat mata dalam saingan Kumpulan C, Piala Asia Bawah 23 (B-23) 2022 di Uzbekistan bulan depan.
Selain memberi kepercayaan kepada 20 pemain yang menduduki tangga keempat di Vietnam minggu lalu, pengendali Malaysia B-23 itu turut menyenaraikan Rahadiazli Rahalim, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan dan Shafi Azswad Sapari bagi melengkapkan 23 pemain ke Tashkent.
Diletak dalam kumpulan sukar bersama juara bertahan, Korea Selatan, selain dua gergasi Asia Tenggara, Vietnam dan Thailand, Maloney percaya, berjaya mengutip empat mata akan mencerahkan peluang untuk ke pusingan kedua.
Menurut pengendali dari Australia itu, beliau sudah mengumpul sebanyak mungkin informasi mengenai Korea, terutama daripada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-Gon yang berasal dari negara tersebut.
“Sebaik sahaja undian keluar, saya dan Pan-gon ada berbincang mengenai Korea Selatan.
“Kami melihat senarai pemain, jelas mereka memiliki banyak kualiti. Ada yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik (tahun lalu), ada juga bermain di kelayakan (Piala Dunia 2022).
“Ada ramai pemain amat dikenali tetapi Korea juga menyenaraikan beberapa muka baharu,” kata Maloney.
Mengenai Vietnam, Maloney percaya, pasukan itu akan melakukan banyak perubahan biarpun masih segar dengan kejayaan mempertahankan pingat emas Sukan SEA selepas menewaskan Thailand 1-0, Sabtu lalu.
“Sukar untuk menjangkakan berapa mata yang boleh dikutip, tetapi saya harap kami boleh dapat sekurang-kurangnya empat mata. Harap pemain memberikan aksi terbaik mereka,” katanya.