Empat emas terjun bakar semangat kontinjen Malaysia di Hanoi

Empat emas terjun bakar semangat kontinjen Malaysia di Hanoi

NAZIFUFFIN Mohd. Najib (tengah) pada sidang akhbar Road to Asian Games 2022 di Wisma MOM, Kuala Lumpur hari ini. - IHSAN MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seliang bagai tebu, serumpun bagai serai. Demikian peribahasa yang menggambarkan keadaan atlet kebangsaan yang sedang ‘berkhidmat’ untuk negara pada Sukan SEA Vietnam apabila Malaysia sudah pun menggondol empat emas, satu perak dan satu gangsa dalam acara terjun.

Meskipun majlis perasmian hanya akan berlangsung dua hari lagi, kejayaan itu dilihat sebagai tonik terbaik untuk sukan lain mengejar pingat, sekali gus menjadikan kontinjen Malaysia digeruni negara lain.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Mohd. Najib meluahkan keterujaannya terhadap kemenangan yang diraih atlet terjun negara yang disifatkan permulaan positif.

Semalam, Nur Dhabitah Sabri menghadiahkan emas pertama Sukan SEA 2021 dalam acara 1 meter (m) papan anjal wanita sebelum  Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang memenangi emas kedua menerusi 3m papan anjal seirama lelaki.

OOI Tze Liang (kiri), Nur Dhabitah Sabri (tengah) dan Chew Yi Wei menghadiahkan dua pingat emas pertama Malaysia pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam semalam. – UTUSAN

Hari ini, Tze Liang menokok satu lagi emas dalam 1m papan anjal lelaki, manakala gandingan Wendy Ng-Ong Ker Ying menyumbang emas keempat acara 3m papan anjal seirama wanita.

“Tahniah kepada semua pemenang, terutama Nur Dhabitah sebab dia merupakan pembawa bendera Malaysia (upacara pembukaan). Memang permulaan yang bagus, mereka telah menunjukkan aksi yang baik biarpun kita belum lalui majlis pembukaan.

“Tambah manis lagi kita dapat menang bola sepak ketika bertemu Thailand semasa perlawanan pertama haritu, saya rasa itu sangat mengejutkan ramai rakyat Malaysia. Sukan SEA kali ini nampaknya ada haluan yang baik.

PENERJUN negara, Wendy Ng (kiri) dan Ong Ker Ying bersama pingat emas yang dimenangi dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita pada Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi hari ini. -UTUSAN

“Walaupun kita baru memasuki fasa endemik, kita dapat pasukan yang baik beraksi di Sukan SEA,” katanya dalam sidang akhbar Road to Asian Games 2022, semalam.

Sementara itu, Nazifuddin menjelaskan situasi sukan petanque yang menghadapi masalah penyertaan dalam Sukan SEA Hanoi, Vietnam akan diputuskan dalam minggu ini juga selepas perbincangan oleh MOM bersama penganjur dan Persekutuan Sukan SEA yang sedang dijalankan.

“Memang mereka (sukan petanque) mendapat bantahan dari persekutuan antarabangsa, namun posisi kita sekarang bersama dengan penganjur di bawah Persekutuan Sukan SEA, patut ada hak untuk menerima penyertaan dari mana-mana negara.

Keputusan adalah tertakluk kepada penganjur, bukan berdasarkan persekutuan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN