City tiada masa ratapi nasib malang di Eropah

City tiada masa ratapi nasib malang di Eropah

PEP GUARDIOLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menegaskan, pasukannya tiada masa untuk meratapi kekalahan kepada Real Madrid pada aksi Liga Juara-Juara kerana perlu segera bangkit membenam Newcastle United esok bagi memastikan misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris tidak terjejas.

City mengalami kekecewaan hebat dalam separuh akhir kelab elit Eropah apabila melepaskan dua gol pada masa kecederaan, sebelum membenarkan Real bangkit dengan gol kemenangan di masa tambahan.

Kata Guardiola, anak-anak buahnya perlu bertindak balas di Etihad hujung minggu ini atau bakal dihukum oleh Liverpool yang mengekori rapat de­ngan satu mata ketika liga berbaki empat perlawanan.

MANCHESTER City masih dibayangi kekalahan kepada Real Madrid pada Liga Juara-Juara.

“Kami memerlukan satu atau dua hari untuk meredakan kekecewaan, namun kami perlu bangkit. Kami akan melakukan apa sahaja yang termampu dan mengelak kesilapan.

“Ya, keadaan sangat sukar dan saya tidak boleh menafikannya. Kami begitu hampir untuk mara ke final Liga Juara-Juara.

“Kami tidak bermain baik pada separuh masa pertama tetapi kami lebih baik di babak kedua, kami mengawal permainan dan menemui gol, malangnya kami gagal menyelesaikan perlawanan sebagai pemenang.

“Kami tidak boleh me­ngulangi kesilapan itu apabila berdepan Newcastle. Persai­ngan terlalu rapat dan sengit, sedikit kesilapan pun akan meletakkan kami dalam kesukaran,” katanya.

Dalam aksi Liga Juara-Juara kelmarin, Real sudah di ambang penyingkiran selepas Riyad Mahrez meledak gol pada minit ke-73 dan membolehkan City mendahului 5-3 secara agregat.

Begitupun, dua jaringan Rodrygo di hujung permainan dan gol Karim Benzema di waktu kecederaan menyingkirkan City secara agregat 6-5. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN