PETALING JAYA: Nur Dhabitah Sabri berpeluang memahat nama sebagai pemenang pingat emas pertama pada edisi ke-31 Sukan SEA di Hanoi hari ini, namun penerjun elit negara itu enggan memikirkan tentang rekod apabila turun di Pusat Akuatik My Dinh.
Nur Dhabitah yang turun dengan status penerjun Olimpik akan memulakan kempen Malaysia untuk menyapu bersih lapan emas terjun Sukan SEA bersama rakan sepasukannya, Kimberly Bong dalam acara 1 meter (m) papan anjal individu wanita.
Malaysia turut menyasarkan sebutir lagi emas dalam 3m papan anjal lelaki seirama yang berlangsung sejam kemudian menerusi penerjun berpengalaman, Ooi Tze Liang-Chew Yi Wei.
Lebih mesra dengan disapa Bitah, pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan Sukan SEA, Khamis depan itu menegaskan, dia hanya mahu menikmati terjunan dan menampilkan aksi terbaik.

“Saya cuma mahu fokus pada waktu itu saja (acara), tak nak fikir tentang emas atau apa-apa perkara lain selain daripada persembahan saya.
“Saya tidak kisah tentang perkara lain (menjadi pemenang pingat emas pertama temasya) kerana yang penting pemenang dari Malaysia,” kata Dhabitah.
Bagaimanapun, merangkul pingat emas acara itu menjadi sasaran Nur Dhabitah yang turut akan menggalas cabaran dalam acara 10m platform seirama wanita bersama ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong.
Pada masa sama, pemenang pingat emas Piala Asia 2019 itu yang telah menuai empat emas sepanjang penyertaannya di Sukan SEA sejak 2013 turut mengakui perasaan gementar antara cabaran yang perlu diatasi setiap kali turun bertanding.

Katanya, dia tidak sesekali memandang rendah cabaran di Sukan SEA walaupun sudah mencapai status penerjun elit dengan pelbagai koleksi pencapaian membanggakan di pentas tertinggi.
“Semua pertandingan saya anggap sama, ia satu proses pembelajaran macam mana saya nak atasi perasaan gementar itu.
“Ketika di Olimpik (Tokyo), Alhamdulillah saya dapat cari cara mengatasinya, jadi saya harap di S sukan ukan SEA dapat buat cara sama dan berharap ia menjadi,” jelas anak bongsu daripada empat beradik itu.
Kontinjen terjun negara menyasarkan untuk menyapu bersih lapan pingat emas yang ditawarkan di Hanoi, sekali gus mengulangi pencapaian sama pada edisi 2019 di Filipina.
Sukan SEA ke-31 dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei dengan beberapa jenis sukan antaranya bola sepak dan terjun memulakan saingan lebih awal. Secara keseluruhan Malaysia menyasarkan 36 pingat emas. – UTUSAN