MELAKA: Bekas Jurulatih Melaka United (MU), Risto Vidakovic sudah menjangka bahawa kenyataan terbukanya kepada pengamal media berhubung kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai, membawa kepada pemecatannya.
Katanya, bagaimanapun tidak pernah terlintas di fikiran, jangka hayatnya bersama MU tidak lama, namun tetap akur menerima keputusan dibuat pihak pengurusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal.
“Saya terima surat pemecatan dengan hati terbuka. Ini memang sudah dijangkakan sejak saya membuat kenyataan secara terbuka bahawa pihak pengurusan tidak membayar gaji pemain dan pegawai selama tiga bulan.
“Saya buat ini kerana simpati dengan keluhan pemain setiap kali turun padang menjalani latihan mereka sering kali bercakap mengenai kelewatan gaji, hingga hilang fokus sewaktu sesi latihan.
“Apa pun saya gembira kerana tindakan itu akhirnya, pemain dan pegawai menerima gaji sebelum perlawanan menentang KL City. Kalau saya tidak buat kenyataan tersebut, mungkin pegawai dan pemain hingga sekarang belum menerima sebarang gaji mereka,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Vidakovic menjadi jurulatih pertama dalam Liga Super dipecat, walaupun MU baru mengharungi empat perlawanan setakat ini.
Terdahulu, pemilik MU, Datuk Seri Justin Lim berkata, pemecatan Vidakovic selaku pengendali Skuad Sang Kancil dibuat ekoran prestasi buruk pasukan yang tidak mencatat sebarang kemenangan.
Menurutnya, penamatan kontrak dibuat pada Selasa lalu atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak.
Mengulas lanjut, Vidakovic berkata, beliau agak kecewa dengan nasibnya itu memandangkan sudah lama berhasrat untuk terlibat dalam Liga M.
“Apa boleh saya buat lagi, inilah bola sepak yang sukar diramal. Ini pengalaman pahit saya sepanjang menjadi jurulatih.
“Seperkara lagi, sepanjang menjadi pemain ketika berusia 17 tahun, kelewatan bayaran gaji jarang saya alami dan ini adalah pengalaman pertama,” ujarnya.
Vidakovic menambah, beliau akan pulang ke negaranya minggu hadapan dan setakat ini belum merancang untuk menyertai pasukan lain.
Untuk rekod, MU tewas 0-1 pada aksi pembukaan di tangan PJ City, sebelum mengutip satu mata terikat 1-1 dengan Penang FC dan kemudian kalah dalam dua perlawanan berdepan Sabah dan KL City. – UTUSAN