Samurai Blue 'pembunuh' senyap

Samurai Blue ‘pembunuh’ senyap

Piala Dunia
LEBIH 60 pemain Jepun beraksi dalam liga di seluruh Eropah, yang mana 12 daripadanya berpangkalan di Jerman. - IHSAN JAPAN FOOTBALL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Ketika semua tum­puan terarah kepada dua bekas juara, Jerman dan Sepanyol yang diundi bersama dalam Kumpulan E pada Piala Dunia 2022, gergasi bola sepak Asia, Jepun bersiap sedia menjadi ‘pembunuh senyap’.

Jerman, juara empat kali dan Sepanyol, pemenang 2010 dianggap pilihan untuk melepasi peringkat awal apabila Piala Dunia membuka tirai di Qatar pada 21 November.

Begitupun, juara Asia empat kali, Jepun yakin mereka mampu memberi tentangan, manakala Costa Rica dan New Zealand yang akan berentap dalam saingan playoff bakal melengkap­kan kumpulan.

Pengendali Jerman, Hansi Flick mengakui, pertembungan dengan Sepanyol sangat menarik, namun mereka juga berwaspada dengan Jepun kerana majoriti pemain Samurai Blue bermain dalam Bundesliga.

BARISAN jurulatih bergambar di depan trofi Piala Dunia pada majlis undian Piala Dunia 2022 di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha semalam.

“Kumpulan yang menarik tetapi tidak mudah. Kami meletakkan harapan tinggi dalam kejohanan ini.

“Jepun pasukan yang mempunyai ramai pemain di Bundesliga, jadi mereka pastiny memiliki kualiti,” kata Flick.

Ketika ini, lebih 60 pemain Jepun beraksi dalam liga di seluruh Eropah, dan 12 daripadanya berpangkalan di Jerman.

Makoto Hasebe dan Daichi Kamada (Eintracht Frankfurt), Genki Haraguchi, Keita Endo (Union Berlin), Wataru Endo, Hiroki Ito (VfB Stuttgart), Masaya Okugawa (Arminia Bielefeld), Takuma Asano (VfL Bochum), Ko Itakura (Schalke 04), Ao Tanaka, Shinta Appelkamp (Fortuna Dusseldorf) dan Sei Muroya (Hannover 96) kini mencipta nama di Jerman.

Jepun juga mempunyai tiga pemain di Sepanyol iaitu Takefusa Kubo (Real Mallorca), Gaku Shibasaki (CD Leganes) dan Shinji Okazaki (FC Cartagena).

KALI terakhir Jerman merangkul Piala Dunia pada 2014.

Sementara itu, pengurus Jepun, Hajime Moriyasu menegaskan, tiada apa yang mampu menggerunkan mereka, biarpun Sepanyol dan Jerman memiliki reputasi amat besar.

“Diundi menentang pasukan yang mempunyai pengalaman memenangi Piala Dunia amat bermakna buat kami kerana kami menyasarkan untuk menentang yang terbaik di dunia.

“Kami akan mula menganalisis lawan tetapi kami tidak melihat mereka sebagai lebih baik dan kami mahu menonjolkan kekuatan sendiri,” katanya.

Jepun mara ke pusingan 16 terakhir di Rusia empat tahun lalu dan memberi tentangan hebat sebelum kalah 2-3 kepada Belgium, namun mereka tidak pernah ke suku akhir.

Samurai Blue akan memuka kempen dengan menentang Jerman di Doha pada 23 ­November. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN