Persatuan negeri boleh sertai MSC tanpa syarat

Sepak takraw: Persatuan negeri boleh sertai MSC tanpa syarat

Sepak takraw
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan sepak takraw negeri yang kini bernaung di bawah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak akan diletakkan sebarang syarat untuk menyertai Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) dan surat jemputan untuk mereka berbuat demikian akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, pihaknya diarahkan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) agar menerima persatuan-persatuan tersebut dan mereka diberi tempoh selama sebulan untuk mempertimbangkan pelawaan itu.

“Kita tidak memaksa persatuan-persatuan ini. PJS yang meminta kita menghantar surat jemputan untuk menerima tanpa syarat persatuan negeri yang bernaung di bawah PSM.

“Kita akan memberi mereka masa untuk berfikir, jika mereka enggan, kita tidak boleh paksa,” katanya.

Menurut Suhaili, sekiranya persatuan-persatuan negeri terlibat masih enggan untuk menyertai MSC, maka, pihaknya akan bertindak dengan menubuhkan sendiri persatuan di negeri-negeri yang masih belum bernaung di bawah badan induk sukan sepak takraw yang baharu itu.

Sukma

Mengulas lanjut mengenai perancangan MSC sepanjang tahun ini, beliau menjelaskan, pihaknya kini memberi fokus kepada persiapan Sukan Malaysia (Sukma) dan pra Sukma setelah mendapat mandat daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

“MSN beri kita mandat untuk kendalikan Sukma, sementara Sukan SEA dan Sukan Asia kita tidak kecoh kerana sejak di peringkat awal lagi MSC memang tidak terlibat.

“Jadi saya tak mahu kita dibebankan esok jika kita tidak membawa sebarang pingat. Jadi kita telah buat keputusan untuk tidak menyenaraikan MSC dalam apa-apa aktiviti Sukan SEA dan Sukan Asia di mana Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang bertanggungjawab untuk kedua-dua temasya itu,” ujarnya.

Suhaili memberitahu, fokus MSC di peringkat antarabangsa adalah pada kejohanan-kejohanan anjuran Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

“Istaf telah memberi kita peluang menganjurkan kejuaraan dunia di bawah 21 tahun yang mana pertandingan itu dijadualkan pada 2023.

“Kita perlu berbincang dengan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) bagi mendapat kelulusan sebelum kita tandatangan untuk jadi tuan rumah,” katanya yang akan turut memberi tumpuan kepada pembangunan sukan di peringkat akar umbi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.