MUNICH: Jaringan Samuel Chukwueze dua minit sebelum tamat perlawanan membawa Villarreal melakar kejutan terbesar Liga Juara-Juara dengan menyingkirkan juara enam kali, Bayern Munich sebentar tadi.
Aksi suku akhir kedua hanya menunggu masa untuk diheret ke masa tambahan selepas jaringan Robert Lewandowski pada minit ke-52 membolehkan Bayern menyamakan kedudukan secara agregat 1-1 setelah tewas 1-0 di Sepanyol minggu lalu.
Empat minit selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian, Chukwueze menyambut hantaran Gerard Moreno untuk meledak gol penyamaan, sekali gus menyingkirkan Bayern secara agregat 2-1.
Biarpun Bayern menguasai sebahagian besar permainan pada kedua kedua tetapi kegagalan menyempurnakan beberapa percubaan yang hadir menerusi Dayot Upamecano dan Thomas Muller mengecewakan ribuan penyokong tuan rumah di Allianz Arena.
Bagi Villarreal, kemenangan itu membawa mereka melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara pertama dalam tempoh 16 tahun. – AGENSI