JOHOR BAHRU: Bergson Da Silva menyifatkan dia ibarat ‘dilahirkan semula’ selepas meledak hatrik ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah kelab China, Guangzhou FC untuk mencipta rekod kemenangan 5-0 dalam saingan Liga Juara-juara Asia (ACL) kelmarin.
Kata penyerang kelahiran Brazil itu, ledakan tiga gol di Stadium Sultan Ibrahim menebus kehampaannya gagal mencipta sebarang gol dalam kempen musim lalu.
“Bagi saya, menamatkan kemarau gol bukan sasaran namun membantu pasukan meraih kemenangan adalah tanggungjawab utama saya. Saya tidak ada masalah jika tidak dapat mencipta jaringan, asalkan mampu membantu pasukan mengutip tiga mata.
“Kita ambil pengajaran pada musim lalu di mana kami bermain baik tapi gagal mencipta gol, jadi musim baharu ini dengan kemasukan beberapa pemain baharu, kami dapat beraksi dengan lebih baik dan meraih kemenangan,” ujarnya.
Bagi pengendali pasukan, Benjamin Mora, kemenangan bergaya itu menaikkan keyakinan pemain untuk menghadapi dua perlawanan berikutnya.

Katanya, kejayaan mengutip tiga mata pada aksi pembukaan ACL ketika bermain di laman sendiri amat penting bagi menyuntik semangat buat pemain mengharungi perlawanan mendatang yang lebih mencabar dengan lawan yang menggerunkan.
“Saya berpuas hati dengan keputusan ini, kami bermain dengan baik sejak minit pertama secara kolektif sebagai satu unit, setiap pemain tahu peranan masing-masing dan mampu menerapkan strategi yang dirancang.
“Bukan mudah untuk mencipta rekod kemenangan terbesar buat kami di pentas kejohanan yang berprestij ini, kemenangan ini adalah hasil usaha keras pemain bersandarkan pengalaman berharga yang ditimba dalam ACL sejak beberapa tahun yang lalu.
“Kami hormati Guangzhou, namun ia bukanlah salah mereka tidak dapatkan menurunkan skuad terbaik.
“Mereka cuba untuk memberi tentangan tetapi kami lebih bersedia setelah meningkatkan rentak permainan, melakukan hantaran pantas bagi menembusi tembok yang didirikan,” katanya.
Bergson dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan setelah meledak hatrik ketika membantu pasukan berada di posisi teratas saingan Kumpulan I ketika perlawanan antara Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai berakhir 1-1.