IPOH: Kerajaan negeri tidak dapat memenuhi permohonan yang dikemukakan oleh pasukan bola sepak Perak FC berjumlah RM2 juta untuk membantu pemain.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri terpaksa menolak permintaan itu kerana keutamaan perlu diberikan bagi membantu golongan ketua isi rumah (KIR) miskin.
Saarani bersimpati terhadap keadaan pemain bola sepak Perak yang berdepan masalah bayaran gaji namun menegaskan kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab lebih besar dalam membantu rakyat miskin.
“Ada permohonan rasmi supaya kerajaan negeri menghulur RM2 juta kepada beberapa orang pemain bola sepak tetapi RM2 juta ini kalau saya berbelanja RM200 untuk satu ketua isi rumah miskin, beribu KIR saya boleh bantu.
“Sebab itu saya minta maaf, ia bukan bermakna saya tidak bersimpati tetapi saya ada tanggungjawab lain yang lebih besar.

SAARANI MOHAMAD
“Rakyat Perak yang miskin, orang-orang nak bangunkan perniagaan, makcik yang nak buat bazar Ramadan, sedikit bantuan yang dia perlukan dan kita mungkin boleh beri RM500, dia boleh beli tepung buat kuih,” katanya.
Beliau berkata ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Mengenai keluhan pengendali Perak FC, Yusri Che Lah bahawa dia dan pasukannya tidak sanggup berdepan bulan Ramadan dalam keadaan tiada gaji, Saarani berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang dialami pemain.
Bagaimanapun katanya, beliau juga perlu berlaku adil kepada rakyat, terutama golongan miskin.
“Jangan memikirkan bahawa saya tak bersimpati, saya bersimpati tetapi saya kena berlaku adil kepada KIR miskin, mereka pun sedih juga pada bulan Ramadan, dia pun nak beras, nak kuih, raya dia nak beli daging jadi itu adalah jawapan yang standard kepada saya,” katanya.
Mengenai memorandum yang dihantar oleh penyokong agar beliau campur tangan dalam kemelut yang dialami pasukan itu, Saarani berkata, kerajaan negeri tidak boleh sewenangnya mencampuri urusan yang bukan di dalam bidang kuasanya.

Katanya, Perak FC merupakan sebuah entiti perniagaan dan kerajaan negeri tidak mempunyai pegangan saham.
“Dalam erti kata lain pasukan bola sepak itu bukan kepunyaan kerajaan negeri. Kalau ia berkaitan pengurusan, kenalah selesaikan melalui Pesuruhjaya Sukan dan juga dalam persatuan bola sepak.
“Kerajaan negeri tidak boleh sewenangnya nak keluarkan duit kerajaan untuk menyelesaikan masalah macam ini,” katanya. – UTUSAN