LONDON: Persaingan sengit dijangka berlaku dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield hari ini apabila dua musuh sebandar, Liverpool dan Everton bersaing untuk membawa dua misi besar yang berbeza.
Reds dalam situasi memburu kesemua empat kejuaraan yang ditawarkan musim ini dan tidak rela keciciran mata kerana ia mampu menggugat peluang mereka untuk mencabar Manchester City dalam perebutan gelaran Liga Perdana.
Everton pula hanya dipisahkan dengan satu mata dari zon penyingkiran ketika liga berbaki tujuh perlawanan.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata, dia mengharapkan Everton tidak terjerumus ke Liga Kejuaraan musim depan, namun dalam masa sama perlu mengalahkan The Toffees kerana mereka mempunyai perjuangan tersendiri.

Bermakna, hanya barisan terbaik akan diturunkan bagi memastikan Reds meraih tiga mata, sekali gus terus memberi tekanan kepada City yang menerajui liga dengan satu mata.
“Pertembungan derby tidak pernah kurang intensiti. Saya sentiasa menantikan perlawanan ini dan nilainya kali ini lebih besar kerana melibatkan misi memburu trofi serta mengelak penyingkiran.
“Saya menjangkakan satu perlawanan sengit, seperti biasa. Ia amat penting buat kedua-dua pasukan,” kata pengurus dari Jerman itu.
Biarpun akan berdepan tugas getir menentang Villarreal pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, Khamis depan, Klopp enggan mengambil risiko melakukan rombakan besar.

Sementara itu, pengendali Everton, Frank Lampard menerima hakikat pasukannya bertandang ke Anfield dalam keadaan tempang ekoran kecederaan ramai tonggak.
Dominic Calvert-Lewin, Andros Townsend, Tom Davies, Donny van de Beek, Andre Gomes dan Nathan Patterson sudah pun berada dalam senarai awal kecederaan, manakala Donny van de Beek serta Andre Gomes diketepikan pada sesi latihan semalam kerana masalah kecil.
“Inilah realiti yang terpaksa kami hadapi tetapi seperti biasa, kami perlu sentiasa bersedia dengan idea-idea serta strategi terbaik,” katanya. – AGENSI