MANCHESTER: Pep Guardiola mengakui, kelebihan ketinggian yang dimiliki Liverpool perkara paling ditakuti Manchester City dalam situasi bola mati apabila kedua-dua pasukan berentap pada saingan Liga Perdana Inggeris hari ini.
City boleh mendahului empat mata di hadapan pesaing terdekat mereka itu jia menang di Etihad, namun berisiko kehilangan kedudukan pendahulu sekiranya kalah kepada skuad bimbingan Jurgen Klopp.
Kata Guardiola, pasukannya telah menunjukkan peningkatan dalam situasi bola mati sejak bekas pengurus skuad bawah 18 tahun, Carlos Vicens mengambil alih tanggungjawab melatih sepakan sudut dan bebas musim panas lalu, namun mereka tetap waspada dengan ancaman Liverpool.
“Kami tahu kami akan banyak bermain di kawasan sendiri (bertahan) dalam perlawanan itu nanti, mereka mampu mengancam dari pelbagai sudut, namun kemampuan terbesar Liverpool adalah dalam situasi bola mati.
“Kami sudah berbincang mengenai perkara itu dalam sesi latihan dan kita perlu menyesuaikan diri dalam situasi tertentu. Mereka lebih tinggi daripada kami dan kami perlu menerimanya.
“Kami berada dalam situasi yang amat menarik, di mana pertembungan ini melibatkan perebutan gelaran liga. Saya mengharapkan semua pemain bangkit dan bersedia menghadapi tentangan lawan,” lawan.
Sementara itu, Guardiola turut mengesahkan City akan turun tanpa pertahanan tengah, Ruben Dias, yang tidak cergas untuk pertembungan kejuaraan.

Berbanding Reds yang lebih mudah dibaca barisan kesebelasan utamanya, City masih berteka-teki siapa akan mengetuai jentera serangan.
Mereka boleh menurunkan Riyad Mahrez atau Jack Grealish di sayap kiri, manakala Phil Foden hampir pasti mengetuai serangan dan bekas bintang Liverpool, Sterling dijangka mengisi sayap kanan.
Foden boleh jadi diletakkan di serangan atau tengah, bergantung kepada taktikal yang mahu diserapkan Pep Guardiola, namun perancang utama Belgium, Kevin de Bruyne hampir pasti menjadi arkitek The Citizens. – AGENSI