Kawasaki sehebat Hyundai – Mora

Kawasaki sehebat Hyundai – Mora

PEMAIN JDT melakukan persiapan akhir untuk menentang Kawasaki Frontale pada saingan Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kejayaan mengejutkan bekas juara, Ulsan Hyundai 2-1 tidak membuatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) men­dabik dada apabila berdepan satu lagi gergasi Asia, Kawasaki Frontale dari Jepun dalam aksi ketiga Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam ini.

Pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui, Frontale mempunyai persamaan dari sudut struktur taktikal serta corak permainan dengan gergasi Korea Selatan, Ulsan yang dijinakkan, Isnin lalu.

Beliau berkata, itu tidak bermakna skuad Harimau Selatan sudah membaca gaya permainan kelab dari Jepun itu yang diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain Brazil di bahagian jentera serangan.

“Ini satu lagi perlawanan sukar buat JDT kerana Kawasaki Frontale salah satu pasukan gergasi Asia yang dibarisi pemain yang hebat belaka seperti ­Leandro Damiao, Marcio Barbosa dan Joao Schmidt.

“JDT perlu memberi aksi terbaik sebaik minit pertama se­perti yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

BENJAMIN Mora (tengah) bersama Matthew Davies (kanan) dalam sidang akhbar semalam menjelang perlawanan menentang Kawasaki Frontale pada saingan Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Ditanya sama ada akan mengekalkan kesebelasan utama seperti perlawanan terdahulu, Mora memberitahu, akan membuat keputusan setelah mendapat maklum balas dari aspek kecergasan setiap pemain.

“Ia bukan lagi rahsia apabila ada pemain utama termasuk empat import kami, sekiranya pertukaran perlu dilakukan, kita akan buat. Kita akan pastikan hanya pemain yang berada di tahap kecergasan yang tinggi akan diturunkan,” katanya.

Katanya, JDT terpaksa melupakan khidmat Haziq Nadzli yang masih dibelenggu kecede­raan akibat pelanggaran dengan pemain Ulsan Hyundai, Isnin lalu dan belum membuat keputusan sama ada Izham Tarmizi atau Farizal Marlias akan diturunkan.

Sementara itu, pemain pertahanan, Matthew Davies berharap rakan sepasukan dapat mengekalkan momentum kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini.

Mengakui kehandalan Frontale, Davies berharap pasukan tidak kendur semangat sebaliknya memberi tentangan hebat untuk mencuri mata.

“Kami di sini bukanlah sekadar pelengkap jadual sebaliknya bersaing dengan pasukan terbaik Asia dan bukan hanya sekadar bermain bertahan sahaja.

“Kawasaki Frontale adalah pasukan yang dinamik dan lincah di bahagian serangan, jadi kami perlu menyaingi kekuatan mereka. Pastinya berdepan tugas sukar mengekang kemaraan trio Brazil yang dimiliki pasukan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN