PASIR GUDANG: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) tidak berdepan tugas sukar menundukkan Kuching City FC (KCFC) 3-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan pasukan JDT II memberi tekanan pendahulu liga, Kelantan FC apabila menyamakan kutipan mata dengan 12 mata, dibezakan oleh perbezaan jaringan.
Beraksi di hadapan 163 penyokong yang hadir, pasukan tuan rumah menguasai permainan dari minit pertama dan hampir mendapat gol awal ketika perlawanan belum berusia 10 minit.
Pasukan kendalian Raul Mariano berjaya memperoleh gol pembukaan pada minit ke-18 hasil jaringan Fernando Rodriguez yang menanduk hantaran lintang Umar Hakeem Suhar Rezwan dari sayap kiri.

Tiga minit berselang, tuan rumah hampir menambah jaringan apabila Moussa Sidibe melorong bola kepada Bienvenido Maranon, namun gagal disempurnakan pemain kelahiran Sepanyol itu.
Pada minit ke-25, giliran Sidibe pula mendapat peluang terhidang bagi mencipta jaringan tetapi rembatannya tepat ke arah penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh yang berada di luar posisi.
Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim cuba bangkit apabila mula mengatur serangan balas namun gagal menembusi benteng pertahanan yang diketuai Adam Nor Azlin dan Feroz Baharudin.
Peluang keemasan skuad KCFC hadir di hujung babak pertama menerusi percubaan Abu Kamara namun berjaya dinafikan T. Shaheeswaran bagi memastikan gawang tidak dibolosi.
Bersambung babak kedua, JDT II hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-51 menerusi rembatan rendah Daryl Sham ke arah penjuru kanan gawang tetapi dapat diselamatkan penjaga gol.
Gol yang diburu pasukan tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-53 menerusi sepakan bebas Maranon disempurnakan Adam yang melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran tersebut.
KCFC merapatkan jurang gol apabila mencipta jaringan menerusi sepakan percuma Alif Hassan dari jarak 30 meter melepasi jangkauan Shaheeswaran pada minit ke-60.
Skuad kendalian Raul kembali melebarkan kedudukan pada minit ke-66, kali ini giliran Sidibe memahatkan nama dalam senarai penjaring menerusi rembatan lencong melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum menerjah gawang lawan.
Perlawanan menjadi lebih agresif ketika KCFC dilihat terdesak memburu gol namun tiada pertambahan jaringan direkodkan hingga wisel penamat. – UTUSAN ONLINE