LONDON: Ibu kepada remaja autisme berusia 14 tahun yang mendakwa ‘diserang’ Cristiano Ronaldo enggan bertemu pemain itu di Old Trafford.
Sarah Kelly berkata, wakil Ronaldo ada menghubunginya selepas rakaman video pemain Portugal itu menghempaskan telefon bimbit penyokong Everton selepas Manchester United kalah 1-0 di Goodison Park, Sabtu lalu tersebar.
Walaupun Ronaldo menjemput anak lelaki Kelly, Jake Harding untuk bertemu, dia menegaskan tiada ‘apa-apa untuk dikatakan’ kepada bintang penyerang tersebut.
Harding menonton perlawanan pertamanya dan Sarah berkongsi foto kecederaan di tangan anaknya itu ekoran tindakan Ronaldo.
Ronaldo, 37, kemudian meminta maaf di Instagram dan mempelawa keluarga terbabit ke Old Trafford.
Begitupun, Sarah membidas cara Manchester United mengendalikan situasi itu dan memberitahu Sky News: “Mengapa saya perlu pergi ke Old Trafford? Mengapa ‘seorang biru’ (penyokong Everton) mahu pergi kepada ‘seorang merah’ (United).”
Mengulas permohonan maaf Ronaldo sehari selepas perlawanan, di mana pemain itu mengulangi hasratnya menjemput Harding ke Old Trafford, Sarah berkata, pemain itu tidak ikhlas.
“Jika dia ikhlas, dia sepatutnya berpatah balik ketika kejadian, mengangkat telefon Jake dan berkata, ‘saya minta maaf’.
“Kami tidak akan ke United kerana Jake tidak mahu ke sana dan enggan jumpa Ronaldo.
“Dia lebih terkesan berbanding saya. Apa yang saya harapkan polis dapat bertindak sejawarnya,” katanya. – AGENSI