ISKANDAR PUTERI: Selepas mengharungi tiga aksi pertama Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang membanggakan, Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya tumbang apabila dibelasah gergasi Jepun, Kawasaki Frontale 0-5 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan kelab No. 1 Asia itu memintas Harimau Selatan untuk menghuni kedudukan pertama Kumpulan I dengan mengutip lapan mata, satu mata di hadapan JDT.
Dalam perlawanan itu, JDT turun tanpa beberapa pemain utama yang direhatkan antaranya Bergson Da Silva, Arif Aiman Hanapi, Natxo Insa, Leandro Velazquez dan Shahrul Saad.
Skuad bimbingan Benjamin Mora itu tetap berjaya mempamerkan aksi bertenaga pada 10 minit pertama dengan melakukan tekanan serta menguji keampuhan benteng pertahanan lawan.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak bertahan lama apabila juara Liga 1 Jepun, Frontale berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-14 setelah dihadiahkan sepakan percuma apabila Yu Kobayashi dijatuhkan Mauricio Nascimento.

Yasuto Wakizaka yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan percuma itu bijak melepaskan rembatan ke arah penjuru kanan gawang yang tidak terjangkau oleh penjaga gol, Farizal Marlias.
Pasukan kendalian Toru Oniki tampil dengan aksi berbeza berbanding perlawanan sebelum ini apabila lebih ghairah menyerang dengan menggunakan kelincahan Chanathip Songkrasin, Akihiro Ienaga dan Ten Miyagi mendatangkan masalah buat tuan rumah.
Setelah beberapa kali melakukan serangan, Kobayashi akhirnya berjaya memperoleh gol yang dicari di minit ke-31 bagi meletakkan Frontale di kedudukan selesa.
Gol kedua tersebut menjadikan pasukan JDT terus tertekan apabila rentak permainan pantas pada awal permainan menjadi caca merba setelah gagal melakukan serangan ke arah gawang lawan.
Ketiadaan beberapa pemain utama bukan lagi alasan untuk gagal beraksi di tahap sebenar setelah Oniki turut merehatkan tonggak seperti Leandro Damiao, Marcio Barbosa dan Daiya Tono.
Kobayashi sekali menjadi pemusnah buat JDT apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-43 hasil umpanan Ienaga yang mudah melepasi kawalan Corbin Ong di bahagian sayap kanan.
Bersambung babak kedua, Mora melakukan beberapa pertukaran untuk mencuba nasib mengubah keputusan perlawanan setelah ketinggalan tiga gol.
Pada minit ke-51, hantaran terus yang dilakukan oleh Nazmi Faiz ke dalam kotak penalti mencari Safawi Rasid menuju ke pintu gol namun berjaya dihidu penjaga gol, Jung Sung-ryong.
Skuad kendalian Oniki terus ghairah melakukan serangan ke arah kubu JDT, namun dilihat terlalu mencari gol cantik sehingga terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan.
Barbosa yang dimasukkan pada babak kedua menambah derita JDT apabila menghasilkan gol keempat berpunca daripada larian solo Chanathip yang melorongkan bola kepadanya sebelum melepaskan rembatan lencong menewaskan Farizal pada minit ke-80.
Chanathip melengkapkan malam sempurna buat Frontale apabila meledak gol kelima pasukan hasil rembatan deras jarak dekat setelah berlaku kekalutan dalam kotak penalti JDT.
Dalam perlawanan terdahulu, kelab China, Guangzhou FC terus menjadi pasukan belasahan apabila tewas 0-5 di tangan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC. – UTUSAN ONLINE