MELAKA: Peminat bola sepak mungkin boleh menjangkakan prestasi hambar dipamerkan Melaka United (MU) dalam saingan Liga Super musim ini kerana pemain beraksi tanpa motivasi gara-gara sudah hampir tiga bulan tidak menerima gaji.
Selain pemain, pihak pengurusan juga menerima nasib sama apabila turut tidak mendapat gaji hingga kini.
Perkara itu didedahkan sendiri pengendali skuad Sang Kancil, Risto Vidakovic selepas pasukannya kalah 0-1 kepada Sabah dalam perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Hang Jebat kelmarin.
Itu bermakna, Melaka masih gagal melakar sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan musim ini, termasuk seri 1-1 dengan Penang FC (8 Mac) dan kalah 1-0 kepada Petaling Jaya City (PJ City) dalam perlawanan pembukaan, 5 Mac lau.

Kata Vidakovic, barisan pemain kini tidak ada motivasi untuk beraksi, begitu juga sewaktu menjalani latihan kerana masalah dalaman yang masih belum diselesaikan.
Menurutnya, kebanyakan pemain lebih banyak bercakap berkenaan isu gaji daripada berbincang mengenai prestasi pasukan sewaktu turun menjalani latihan.
“Saya dapat tahu ada pemain tidak menerima gaji antara dua hingga tiga bulan. Ada juga pemain datang ke MU hingga kini juga tidak mendapat apa-apa bayaran.
“Susah untuk saya bekerja kerana belum pernah berdepan masalah seperti ini. Situasi ini menyebabkan saya tidak ada semangat untuk melatih.
“Masalah ini sudah berlarutan berbulan lamanya dan tidak profesional pemain tidak dibayar gaji, bagaimana mereka hendak bermain baik,” katanya ketika mengulas kekalahan kepada Sabah. – UTUSAN