Bermain dalam keadaan berpuasa amat mencabar

Bermain dalam keadaan berpuasa amat mencabar

PEMAIN JDT melakukan persiapan menjelang pertemuan menentang Ulsan Hyundai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Benjamin Mora mengakui, ketahanan fizikal dan mental pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beragama Islam akan teruji sepenuhnya apabila berdepan Ulsan Hyundai pada pukul 5 petang ini dalam keadaan berpuasa.

Pengendali Harimau Selatan itu bagaimanapun percaya, anak-anak buahnya mampu menangani situasi mencabar tersebut untuk mengejutkan Ulsan dalam aksi terakhir Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL), sekali gus memahat sejarah mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama.

“Bermain dalam keadaan berpuasa amat mencabar daripada segi ketahanan fizikal serta minda pemain ketika mereka dituntut untuk berada di tahap terbaik bagi mengekalkan tempo permainan pasukan.

“Saya harap situasi ini dapat ditangani pemain dengan sebaiknya dalam masa sama rakan pasukan akan saling membantu mereka. Mungkin Kita perlu merancang sesuatu untuk mengimbangi keadaan itu,” katanya.

Kata Mora, JDT sudah bersedia untuk memenangi perlawanan paling penting dalam sejarah kelab, dan yakin mentaliti serta komitmen pemain untuk mengalahkan juara dua kali itu berada pada tahap tertinggi.

Mora juga bakal menampilkan strategi dan muslihat berbeza berbanding ketika menewaskan Ulsan 2-1 dalam aksi pertama pada 18 April lalu.

“JDT akan berusaha sehabis baik mempamerkan corak permainan hampir sempurna dari segi kekuatan, mentaliti dan komitmen selain keinginan yang meluap-luap untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Itu dilihat sebagai nilai tambah buat pasukan.

“Kita kena akui Ulsan Hyundai merupakan lawan yang sukar dibarisi pemain, kena pada statusnya sebagai kelab gergasi Asia. Jadi kami perlu lebih berhati-hati dan tidak terbawa-bawa dengan keinginan memburu kemenangan.

BENJAMIN Mora (kiri) dan Natxo Insa dalam sidang akhbar semalam.

“Sandaran JDT untuk memburu kemenangan tentunya digalas oleh mesin gol kami, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri yang memain peranan penting untuk menghadiahkan kemenangan dan membuka laluan kepada pasukan untuk melangkah lebih jauh dalam saingan ACL,” katanya.

Dalam pada itu, pemain tengah JDT, Natxo Insa sudah bersedia untuk diturunkan pada perlawanan dan mengemudi bahagian tengah pasukan serta menghalang gerakan pasukan lawan.

NATXO Insa sedia memperkuatkan cabaran JDT.

Natxo yang direhatkan dalam dua perlawanan terdahulu, bersemangat tinggi dan berusaha keras memastikan rentak permainan pasukan teratur dengan menggunakan pengalaman luasnya di pentas Eropah.

“Dalam perlawanan sengit seperti ini, disiplin taktikal amat penting untuk tidak memberi ruang kepada pasukan lawan bergerak bebas melakukan serangan. Lebih penting adalah elak melakukan kesilapan kerana pasukan hebat seperti Ulsan pasti mencari jalan untuk menghukum lawan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN