LIVERPOOL: Liverpool dijangka melakukan rombakan pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara esok ketika lawan mereka, Benfica juga bakal tampil lebih segar selepas merehatkan enam tonggak dalam aksi terakhir liga domestik, Ahad lalu.
Reds dijangka menurunkan trio serangan berbeza berbanding ketika seri 2-2 dengan Manchester City dalam saingan Liga Perdana, Ahad lalu, di mana Sadio Mane mengetuai serangan bersama Roberto Firmino dan Luis Diaz.
Jurgen Klopp membariskan Mane, Mohamed Salah dan Diogo Jota di bahagian depan ketika berdepan The Citizens.
Liverpool yang memegang kelebihan ke atas Benfica selepas menang 3-1 di tempat lawan minggu lalu turut melakukan pertukaran benteng, di mana Ibrahima Konate bakal mengisi kesebelasan utama menggantikan Joel Matip di bek tengah.
Joe Gomez mengambil alih posisi bek kanan daripada Alexander-Arnold dan Kostas Tsimikas menggantikan Andrew Robertson di pertahanan kiri. Virgil van Dijk bagaimanapun akan kekal mengetuai benteng.
Naby Keita juga dijangka mengisi kesebelasan utama, manakala Harvey Elliott, Curtis Jones dan Alex Oxlade-Chamberlain menunggu masa untuk dibawa masuk di bahagian tengah.

Selain perlu menang di Anfield esok untuk memburu tiket ke separuh akhir Liga Juara-Juara, Reds perlu berhati-hati dalam memilih pasukan kerana mereka juga bakal berdepan tugasan berat hujung minggu ini apabila bertemu City pada separuh akhir Piala FA di Wembley.
Tiga gol yang disempurnakan Konate, Mane dan Diaz di Stadium Luz minggu lalu meletakkan Liverpool dalam keadaan selesa, namun pengendali pasukan, Jurgen Klopp mengingatkan pemainnya, Benfica mempunyai kualiti untuk bangkit.
“Benfica menang di Ajax (pusingan 16 akhir), jadi kami sedar kualiti mereka. Sekarang kami mempunyai permainan yang bagus menentang City dan akan bersedia lagi,” tegasnya.
Sementara itu, pengurus sementara Benfica, Nelson Verissimo enggan mengibarkan bendera putih dan menegaskan peluang pasukannya masih terbuka.
“Pintu belum tertutup, namun kami sedar tugas sukar yang menanti. Saya akan cuba suntik keyakinan pemain,’’ ujarnya.
Benfica merehatkan ramai tonggak ketika menumpaskan B-SAD dalam saingan Liga Portugal, Ahad lalu, di mana Julian Weigl, Rafa Silva, Goncalo Ramos, Gilberto dan Alex Grimaldo semua direhatkan, manakala Jan Vertonghen terlepas perlawanan kerana penggantungan.
Pemain-pemain ini dijangka kembali di Anfield esok dalam misi merubah nasib pasukan dan membawa mereka ke separuh akhir saingan kelab elit Eropah. – AGENSI
We’re ???? with Jürgen Klopp and @Alissonbecker as they look ahead to our #UCL quarter-final second leg against Benfica! ?#LIVSLB https://t.co/GTObic8Bod
— Liverpool FC (@LFC) April 12, 2022