Arteta minta maaf Crystal benam Arsenal 3-0 - Utusan Malaysia

Arteta minta maaf Crystal benam Arsenal 3-0

PEMAIN CrystalnPalace meraikan kejayaan menumpaskan Arsenal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Mikel Arteta memohon maaf atas prestasi ‘tidak boleh diterima’ Arsenal ketika tewas 3-0 kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, sekali gus menjejaskan peluang mereka menamatkan kempen di tangga keempat.

Dalam aksi di Selhurst Park, anak-anak buah Arteta dibolosi dua kali pada babak pertama menerusi jaringan Jean-Philippe Mateta dan Jordan Ayew.

Arsenal gagal bangkit pada separuh masa kedua, dan sepakan penalti Wilfried Zaha melengkapkan kekalahan Arsenal.

Kemenangan 5-1 Tottenham ke atas Newcastle kemarin menyebabkan Arsenal jatuh di tangga kelima. 

Kedua-dua pasukan terikat 54 mata, namun Arsenal memiliki kelebihan satu mata dalam tangan.

Persaingan merebut slot terakhir ke Liga Juara-Juara musim depan semakin sengkit dan Arsenal berdepan risiko tersisih jika terus mempamer aksi tidak konsisten.

West Ham dan Manchester United, yang kedua-duanya tiga mata di belakang Arsenal, masih berpeluang merebut kesempatan dan pemburuan empat tempat teratas kini terbuka semula.

“Kami menyukarkan pasukan sendiri dengan cara begini. Anda perlu kuat secara fizikal dan bermain dengan cara betul. Kami tidak konsisten bersama bola dan itu tidak boleh diterima.

“Permainan kami tidak menjadi terutama pada babak pertama. Saya minta maaf kepada penyokong. Kami tidak mampu bermain dengan tersusun untuk menguasai perlawanan. Itu yang membuatkan saya amat geram,” kata Arteta. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN