LONDON: Ketua Jurulatih Belanda, Louis Van Gaal memberi amaran kepada Erik Ten Hag supaya tidak mengambil alih jawatan pengurus Manchester United (MU).
Van Gaal yang pernah membimbing Red Devils pada musim 2014 hingga 2016 turut menggesa bos Ajax Amsterdam itu agar memilih kelab lain berbanding kelab ‘komersial’.
“Erik Ten Hag adalah jurulatih yang hebat dan sentiasa bagus untuk kelab besar seperti Manchester United tetapi United adalah kelab komersial, jadi ia adalah pilihan yang sukar buat seorang jurulatih.
“Dia (Ten Hag) lebih baik pergi ke kelab bola sepak sebenar. Saya tidak menasihatinya tetapi dia bertanya kepada saya sendiri. Apa yang pasti, dia mesti memilih kelab bola sepak dan bukan kelab komersial,” kata Van Gaal.
Ketika di United, Van Gaal pernah membawa pasukan itu menjuarai Piala FA pada musim terakhirnya sebelum dipecat dan digantikan dengan Jose Morinho.
Ten Hag yang berumur 52 tahun merupakan nama yang dikaitkan dengan kerusi panas di Old Trafford selepas khidmat pengurus sementara, Ralf Rangnick berkahir hujung musim ini.
Ten Hag dilantik oleh Ajax semasa kempen 2017-2018 dan membawa mereka merangkul kejuaraan liga Belanda pada 2019 dan 2021, selain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2019. – AGENSI