LONDON: Chelsea merayu kepada kerajaan Britain agar melonggarkan sekatan kerana bimbang kelab itu boleh ‘hancur’ hanya dalam masa 17 hari.
Akaun bank Blues telah dibekukan menyebabkan mereka berdepan masalah kewangan ekoran sekatan yang dikenakan terhadap pemilik kelab, Roman Abramovich.
Semua aset hartawan Rusia itu di Britain dibekukan kerana dia didakwa kroni Presiden Rusia, Vladimir Putin yang melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.
Kelab tidak dapat menjual tiket perlawanan, tidak dibenarkan menjual atau membeli pemain, tidak boleh menawarkan kontrak baharu kepada pemain, malah tidak boleh menjual barangan mereka kerana kedai di Stamford Bridge telah ditutup.
Menurut sumber kelab Liga Perdana Inggeris itu, yang diberi lesen untuk beroperasi, akaun korporat Chelsea, termasuk kad kredit telah dibekukan kerana bank-bank mahu ‘menghindari risiko’.

“Lesen membenarkan kelab meneruskan aktiviti harian tetapi bank tidak mempunyai selera untuk mengambil risiko.
“Mereka telah membekukan beberapa kad kredit korporat. Ia meningkatkan lagi tekanan kepada kelab,” kata sumber itu.
Pengurusan tertinggi Chelsea dikatakan sedang berunding dengan pegawai kanan kerajaan bagi meminda sekatan.
Antara yang boleh diringankan adalah had perbelanjaan untuk perjalanan pasukan pada hari perlawanan, selain rundingan semula kontrak pemain.
Bagaimanapun had aliran komersial seperti penjualan tiket tetap dikenakan bagi menghalang Abramovich berurus niaga, biarpun Chelsea menegaskan mereka menuju kehancuran kewangan tanpa sebarang pendapatan. – AGENSI