KUALA NERUS: Jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner dipilih sebagai pengarah teknikal Terengganu FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022.
Pelantikan bekas pengendali T-Team itu bagi memperkemaskan aspek teknikal sekali gus memantapkan barisan kejurulatihan skuad Sang Penyu yang dibimbing Mohd. Nafuzi Zain.
Steinbruckner berkata, dia tertarik untuk berada dalam pasukan Terengganu FC kerana corak permainan diterap jurulatih muda itu mirip dengan falsafah bola sepak dibawanya.
“Saya telah mengikuti perkembangan Terengganu FC sejak beberapa tahun lalu dan melihat Mohd. Nafuzi adalah jurulatih yang bagus untuk membimbing pasukan ini.
“Kami berkongsi pandangan yang sama dalam bola sepak dan akan bekerjasama untuk mendapatkan keputusan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Steinbruckner berkata, peluang untuk menabur bakti di Terengganu buat kali kedua tidak akan disia-siakan sekali gus meletakkan sasaran membaiki pencapaian dalam saingan domestik musim ini.
“Saya sedar harapan tinggi yang diletakkan kepada Terengganu FC dan ia juga menjadi sasaran saya untuk meraih kejayaan bersama Sang Penyu,” katanya. – UTUSAN ONLINE