LONDON: Middlesbrough melakar satu lagi kejutan besar dalam Piala FA apabila menumpaskan Tottenham 1-0 pada masa tambahan di Riverside, hari ini.
Kelab Liga Kejuaraan itu yang sebelum ini menyingkirkan Manchester United di Old Trafford pada pusingan keempat memanjangkan kemarau kejuaraan Spurs, yang kali terakhir menjulang trofi pada 2008 iaitu Piala Liga.
Kekalahan tersebut juga menimbulkan persoalan tentang masa depan pengendalinya Antonio Conte, yang mengambil alih pasukan pada November tetapi memberi isyarat mungkin akan meninggalkan kelab selepas empat kekalahan dalam enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.
“Kami perlu memberikan yang terbaik untuk baki musim ini dan kemudian melihat di mana kedudukan pasukan sebelum melakukan penilaian.
“Masih terlalu awal untuk memperkatakan segala-galanya,” kata Conte.
Pemain remaja, Josh Coburn yang masuk sebagai pemain gantian, menjaringkan satu-satunya gol pada perlawanan itu menerusi penyudah cantik menewaskan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris minit ke-107.
Sementara itu, Manchester City mara ke suku akhir dengan menumpaskan Peterborough 2-0 menerusi jaringan Riyad Mahrez dan Jack Grealish. – AGENSI