Sukan SEA

Petanque sasar dua emas di Vietnam

MOHAMAD ALI Mohamad berucap selepas menang jawatan Presiden PPM di Kelab Tasik Putrajaya, semalam. -UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) menyasarkan dua pingat emas dalam lapan acara dipertandingkan pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.

Presiden PPM yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, sasaran dua pingat emas itu dianggap realistik dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurutnya, biarpun sasaran itu terlalu kecil, namun ia sudah memadai buat sukan tersebut menyumbang pingat untuk kontinjen negara.

Beliau berkata, skuad petanque kali ini cuba memperbaiki pencapaian pada temasya sama di Filipina pada 2019, apabila hanya menyumbang satu emas, dua perak dan dua gangsa.

“Insya-Allah, sasaran dua pingat emas adalah realistik untuk kita menyandarkan harapan kepada 17 atlet yang akan menyertai semua acara yang dipertandingkan di Hanoi.

“Setakat ini, saya telah dimaklumkan persiapan atlet berjalan lancar dan mereka sangat teruja untuk menghadapi Sukan SEA nanti dan cuba memperbaiki pencapaian pada temasya yang sama di Filipina,” katanya selepas Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PPM di Kelab Tasik Putrajaya, semalam.

Mohamad Ali dipilih sebagai Presiden baharu bagi sesi 2022-2026 selepas menang tanpa bertanding jawatan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menambah, PPM tidak menetapkan sebarang kategori sama ada lelaki atau wanita yang bakal menyumbang dua pingat emas tersebut.

Selain dua emas, katanya, pingat perak dan gangsa turut menjadi sasaran walaupun tidak menetapkan acara secara khusus.

“Saya akan melawat dan meninjau persiapan atlet petanque yang kini sedang membuat persiapan rapi dalam masa terdekat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN