MELAKA: Jurulatih Melaka United (MU), Risto Vidakovic kian resah dengan prestasi skuad itu selepas 15 pemain termasuk pegawai disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Beliau berkata, situasi yang tidak diduga itu menyebabkan pemain tidak menjalani latihan selama seminggu dan tahap kecergasan tidak mencapai tahap memuaskan.
Katanya, perlawanan persahabatan diharungi pemain ketika tewas 2-3 kepada Terengganu FC di Stadium Hang Jebat malam Ahad mencerminkan dilema pasukannya.
Ujarnya, pemain dilihat masih mencari rentak terbaik selain keserasian antara satu sama lain yang belum mencapai tahap tertinggi, dikenal pasti antara faktor pasukannya tunduk kepada Terengganu.

“Saya tidak mahu salahkan pemain kerana kita berdepan situasi getir yang dihadapi apabila terpaksa berehat selama seminggu selepas ramai pemain disahkan positif Covid-19 minggu lalu.
“Macam-macam terjadi dari sesi latihan pramusim yang terlalu singkat, pemain import lewat tiba dan beberapa masalah dalaman pasukan. Tetapi saya yakin dalam sedikit masa dapat mengadunkan barisan yang cukup mantap,” katanya.
Jurulatih dari Bosnia Herzegovina itu mengakui, corak taktikal belum dapat diterjemahkan sepenuhnya oleh pemain, namun ruang untuk memperbaiki segala kelemahan masih ada.
Justeru, katanya, pertemuan dengan PIB menjadi sandaran untuk barisan pemainnya dapat mempamerkan aksi terbaik dan mencatat kemenangan ke atas kelab itu.
“Kemenangan ini amat penting untuk menjadi moral semangat buat pemain menjelang pertemuan Liga Super berdepan Sabah pada 5 April ini di gelanggang sendiri,” jelasnya.
Untuk rekod, MU kini menduduki tangga kelapan Liga Super mengutip satu mata selepas tewas kepada PJ City 0-1 dalam aksi pertama dan seri 1-1 dengan Pulau Pinang. – UTUSAN ONLINE