KL Thunder ke separuh akhir Piala Juara-Juara STL - Utusan Malaysia

KL Thunder ke separuh akhir Piala Juara-Juara STL

SYAHIR Rosdi menarik diri akibat kecederaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder menepati ramalan mara ke separuh akhir kejohanan sepak takraw Piala Juara-Juara STL selepas menundukkan Penang Black Panthers  21-17, 21-11 di Iskandar Malaysia Studio, di sini sebentar tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan Melaka Titans akan mengiringi KL Thunder ke peringkat empat  terbaik dari Kumpulan B, manakala perjalanan Penang Black Panthers tersekat.

Pada set pertama, pasukan kendalian Rashidi Nordin mendahului permainan dengan kedudukan 4-2 berpunca daripada servis Syahir Rosdi yang gagal disambut  baik pasukan lawan.

Syahir terus mempamerkan aksi berkualiti apabila meletakkan pasukan juara bertahan itu terus selesa di hadapan 7-2 hingga memaksa kem pasukan Utara itu memanggil ‘time-out’.

Penang Black Panthers yang terus dihambat pasukan lawan itu terus buntu setelah ketinggalan 11-3 sehingga melakukan pertukaran memasukkan tekong, Zarif Merican Ibrahim Merican.


PEMAIN KL Thunder meraikan kejayaan menumpaskan Penang Black Panthers dalam perlawanan Kumpulan B, Piala Juara-Juara STL di Iskandar Studio Malaysia, Iskandar Puteri malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Dengan kemasukan Zarif, Penang Black Panthers kembali menemui rentak permainan apabila mengutip mata menerusi servis yang dilakukan untuk merapatkan jurang kedudukan kepada 15-13 sebelum menyamakan kutipan mata 16-16.

Perejam KL Thunder, Azlan Alias menyekat kebangkitan pasukan lawan apabila menambah kutipan mata untuk meletakkan pasukan mendahului 19-16 sebelum menang dengan kutipan mata 21-17.

Pada set kedua, KL Thunder menggunakan momentum kemenangan set pertama apabila terus mengasak pasukan lawan untuk berada di hadapan di kedudukan 7-2.

Ahmad Supian Napiah yang mempertaruhkan keringat perejam dari Thailand, Aekasit Naphom pada set kedua dilihat kurang berbisa apabila rejamannya kurang menjadi dan berjaya dihadang Azlan dan disambut rakan sepasukannya.

Melihatkan pasukan lawan bergelut untuk berada di prestasi terbaik, KL Thunder memanfaatkan peluang itu untuk terus melebarkan jurang mata kepada 11-4.

Servis Zarif tidak lagi memberi ancaman kepada pasukan yang diketuai Amirul Zazwan Amir apabila memastikan tidak banyak mata berjaya dikutip pasukan lawan sekali gus memberi tekanan kepada mereka apabila jurang mata 15-6 sukar dikejar.

Azlan menerusi pelbagai variasi serangannya berjaya memastikan pasukan mara ke kedudukan 18-9 sebelum menamatkan saingan dengan kiraan mata 21-11. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya