Kemelut Pafa: Akur apa juga keputusan PJS - Utusan Malaysia

Kemelut Pafa: Akur apa juga keputusan PJS

KHAIRUL Shahril Mohamed melakukan tee off pada Perasmian Akademi Golf Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan Pafa perlu akur terhadap apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung kemelut dua kumpulan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, campur tangan PJS itu baik untuk menyelesaikan kemelut itu.

“Saya menyeru kepada Pafa apa jua keputusan yang akan dibuat oleh PJS nanti, Pafa perlu akur.

“Janganlah panjang-panjangkan lagi kemelut ini kerana itu tidak akan menyelesaikan masalah tetapi akan menyulitkan lagi keadaan.

“Saya melihat PJS satu badan yang paling baik untuk menguruskan konflik dalam persatuan ini dan saya difahamkan PJS sudah mula bergerak, akan panggil semua pihak yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perasmian Akademi Golf Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC) di sini hari ini.

Menurut Khairul Shahril, beliau tidak gembira dengan kemelut yang berlaku kerana memberi kesan kepada  Perak FC.

Katanya, kemelut Pafa ibarat ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’, satu pekara yang tidak positif dalam keadaan bola sepak Perak tertekan, malah ia amat memalukan kerana sehingga sekarang masih berlaku perebutan jawatan dalam Pafa.

“Jawatan dalam Pafa tidak perlu direbut kerana ia penuh dengan tanggungjawab yang besar sebagai keutamaan untuk menjayakan organisasi itu.

“Kalau saya di tempat mereka, saya sendiri akan menolak jika ada tawaran untuk saya memegang atau terlibat dalam Pafa kerana tanggungjawabnya cukup besar.

“Mereka perlu jelas dengan tanggungjawab dalam organisasi itu sama ada mereka mahu menjawat jawatan kerana tanggungjawab atau kerana apa,” katanya.

Semalam, PJS berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Pafa dan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan Pafa bagi memberi gambaran sebenar kemelut yang melanda badan induk bola sepak negeri ini.

Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd. Yusof berkata, hasil pertemuan yang dijadualkan bulan ini juga bagi merumuskan hasil semakan dan sekali gus menyelesaikan kemelut berpanjangan bagi mengelak memberi kesan terhadap pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

Katanya, PJS sudah pun meneliti dakwaan Pafa dan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan Pafa, namun belum boleh lagi memberikan sebarang pengesahan kepada dua-dua belah pihak, mana satu yang betul atau salah. – UTUSAN ONlLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya