PASIR GUDANG: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) melakar kemenangan sulung dalam perlawanan Liga Perdana musim ini setelah menumpaskan Kelantan United 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di sini sebentar tadi.
Daryl Sham dan Fernando Rodriguez masing-masing meledak satu gol bagi setiap babak perlawanan untuk menghadiahkan tiga mata pertama buat JDT II.
Kemenangan itu mengubati kekecewaan setelah tewas kepada satu lagi pasukan dari Kelantan, Kelantan FC dalam aksi pembukaan liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, awal bulan lalu.
Pada babak pertama, aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan tampak seimbang setelah masing-masing bertukar ganti menguji keampuhan benteng lawan bagi memburu gol awal.
Pasukan tuan rumah yang diperkuatkan dengan beberapa pemain dari skuad utama dilihat kurang berbisa malah skuad kendalian Syamsul Mohd. Saad tampil lebih berbahaya di bahagian jentera serangan.
Setelah kerap diasak pasukan lawan, JDT II bangkit mengatur gerak dan berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-34 sekali gus mengejutkan pasukan pelawat itu.
Gol pertama perlawanan terhasil menerusi hantaran lintang Ahmad Hazwan Bakri yang disempurnakan oleh Daryl Sham untuk meletakkan JDT II di hadapan.
Bersambung babak kedua, Kelantan United cuba bangkit setelah ketinggalan satu gol dengan melakukan beberapa pertukaran termasuk membawa masuk Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi.
Bagaimanapun serangan dan pertukaran corak permainan yang dilakukan tidak membuah hasil bagi menewaskan penjaga gawang, Izham Tarmizi Roslan.

Bahkan, tuan rumah menambah jaringan bagi meletakkan JDT II di kedudukan yang lebih selesa pada minit ke-74.
Rodriguez tidak berdepan masalah untuk menanduk masuk sepakan penjuru diambil Bienvenido Maranon bagi menambah jaringan buat pasukan tuan rumah.
Pada babak akhir perlawanan, Fakhrul Zaman hampir mencipta jaringan buat pasukan Kelantan United namun sepakan lencongnya dari sayap kiri sedikit tersasar melewati palang gol. – UTUSAN ONLINE