Harimau Selatan garang ke final Piala Juara-Juara STL - Utusan Malaysia

Harimau Selatan garang ke final Piala Juara-Juara STL

TRIO Johor Tigris meraikan kemenangan ke atas Melaka Titans pada separuh akhir Piala Juara-Juara STL di Iskandar Malaysia Studios, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sorakan padu penyokong tuan rumah menaikkan semangat Johor Tigris yang mempamer aksi ‘berhantu’ ketika menumpaskan Melaka Titans untuk mara ke final sepak takraw Piala Juara-Juara, sebentar tadi.

Memenangi set pembukaan, namun kalah di set kedua, Harimau Selatan kemudian ‘mengganas’ dalam set pentuan ketika menumpaskan Titans 21-13, 19-21, 21-9 pada separuh akhir di Iskandar Malaysia Studio, di sini sebentar tadi.

Johor akan bertemu pemenang di antara juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder atau Negeri Sembilan (NS) Antlers yang sedang berentap dalam satu lagi separuh akhir.

Tuan rumah yang dibarisi Zuhri Zain (tekong), Noraizat Nordin (apit kanan) dan Aiman Hakim Zakari (apit kiri) beraksi dengan baik 4-3 sebelum menambah kutipan mata kepada 10-6.

PEMAIN Melaka Titans hampa tewas 13-21, 21-19, 9-21 kepada Johor Tigris Piala Juara-Juara STL di Iskandar Malaysia Studios, Iskandar Puteri malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Noraizat memainkan peranan penting membantu Johor untuk terus berada di hadapan di kedudukan 15-7.

Usaha pasukan kendalian untuk mengejar pungutan mata hasil rejaman Rusdee Leerem tidak memadai setelah juara edisi Kejuaraan Juara-juara STL 2019 terus melebarkan kedudukan sebelum menang 21-13.

Pada set kedua, Melaka Titans berjaya menyaingi kekuatan tuan rumah sebelum kelemahan Zuhri membuka ruang buat pasukan bimbingan Riduan Ramli melakukan serangan balas untuk mendahului 8-4.

Kemasukan Siwatbanchan Seekhwa menggantikan Zuhri membantu pasukan untuk beraksi dengan lebih baik hasil servis tajamnya memberi tekanan dengan merapatkan kedudukan 10-9.

Melaka Titans enggan menyerah kalah apabila terus menambah mata hasil rejaman Rusdee Leerem untuk meletakkan pasukannya mendahului 16-13, 17-16 sebelum menang 21-19.

Pada set penentuan, Johor Tigris mendahului 4-2 dan kedudukan itu dijarakkan kepada 7-2 apabila servis tajam Siwatbanchan ke arah apit kiri, Umar Mohamad berjaya menuai tiga mata.

Aksi berbeza dipamerkan oleh tekong, Sahidan Md. Ali yang kebanyakan servisnya tersangkut di jaring dan mudah diapungkan lawan seterusnya melakukan serangan balas untuk selesa di hadapan di kedudukan 12-3.

Sorakan padu penyokong Johor Tigris yang menggamatkan suasana dalam studio dilihat mengganggu konsentrasi pasukan lawan yang tidak konsisten ketika melakukan serangan.

Servis Sahidan yang kurang menjadi pada set ketiga meletakkan penamat buat saingan pasukan tersebut setelah tewas mudah 9-21. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya